Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1,000 peniaga PKS terima geran negeri bantu beralih kepada digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Lebih 1,000 peniaga mendapat manfaat daripada dana Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantunya beralih dari konsep fizikal ke digital.

EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim berkata dana RM5 juta berkenaan menerima permohonan tinggi daripada syarikat untuk menaik taraf operasi mereka sesuai peredaran masa.

“Sambutan diterima amat mengalakkan apabila Selangor melangkah ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya di sini, semalam.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April lalu untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lahirkan kelompok usahawan mampu berdikari

GOMBAK, 16 APRIL: Kerajaan Negeri berada di landasan tepat melahirkan kelompok usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mampu bertahan meskipun berdepan kemelesetan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata peniaga diwujudkan menerusi program Hijrah Selangor menjadi sendi ekonomi negara khususnya Selangor untuk menampan ketidaktentuan global.

“Kita mahu lahirkan usahawan yang tidak perlukan tongkat kerajaan, contohnya bagaimana Korea Selatan mampu bertahan ketika dilanda krisis mata wang dan pendemik Pernafasan Akut Teruk (SARS) dahulu.

“Kejayaan mengharungi ketidaktentuan dunia disokong kekuatan PKS yang terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Iftar Hijrah Selangor di Banquet Hall Al-Hijrah di sini semalam.

Beliau berkata dasar merakyatkan ekonomi diperkenalkan pentadbiran terdahulu tidak lagi sesuai serta diganti dengan bantuan bersasar.

“Dahulu kita beri kepada semua rakyat tanpa selidik sama ada mereka benar-benar perlukan bantuan, ini menyebabkan orang yang tidak layak pun terima.

“Sekarang kita libat apa yang mereka mahu, justeru kita bantu golongan sasar meningkatkan perniagaan yang mereka minat usahakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin menyarankan usahawan yang berjaya berganding baju bersama Kerajaan Negeri membantu peniaga terjejas akibat Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

MED mahu terokai peluang dalam sektor halal, teknologi New Zealand

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berhasrat menerokai peluang lebih luas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam sektor halal dan teknologi di New Zealand.

Dalam lawatan kerja beliau ke New Zealand baru-baru ini, Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan sektor swasta daripada Malaysia dan New Zealand.

“MoU pertama antara BCA International Sdn Bhd dan Oceania Halal Academy, New Zealand dalam bidang halal, yang akan menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menyumber bekalan bahan mentah daripada New Zealand bagi pembuatan gelatin halal di Malaysia.

“MoU kedua adalah antara MyProdigy Asia Pacific dan Map My Skills, New Zealand dalam bidang pembangunan bakat. MoU itu dijangka mewujudkan peluang kepada PKS Malaysia untuk menggunakan teknologi baharu dan berasaskan blockchain untuk tujuan pensijilan pembangunan bakat,” katanya.

Semasa di New Zealand, menteri turut menyertai Persidangan Pengurusan Gunaan Antarabangsa (IAMC) ke-8 di Institut Teknologi Waikato (WINTEC).

Dalam ucapannya, beliau berkata banyak jaringan ekonomi akan dibina antara PKS daripada kedua-dua negara.

Beliau turut berkongsi mengenai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang baru dilancarkan di Malaysia, dasar yang menetapkan hala tuju untuk menggalakkan PKS berkembang melangkaui pasaran domestik mereka, menjalin hubungan strategik dan memanfaatkan inovasi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemain industri PKS perlu berani mulakan langkah IR 4.0

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melihat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sebagai ‘naratif nasional’ yang didorong oleh penggemblengan usaha secara berperingkat dan konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus berkata, ini memandangkan kesedaran mengenai kepentingan mengubah cara kerja dan produktiviti berteraskan teknologi dan inovasi masih rendah dengan hanya segelintir syarikat PKS yang berani mengorak langkah ke arah platform IR 4.0.

Malah, dari segi permohonan Penilaian Kesediaan Industry4WRD, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hanya menerima 600 permohonan berbanding lebih 80,000 syarikat PKS yang berdaftar di negara ini.

“Walaupun sedemikian, kita boleh menerangkan kepada mereka bahawa langkah ke arah IR 4.0 ini harus dimulakan sekarang meskipun kita tidak memiliki kandungan teknologi yang tinggi.

“Apa yang penting mereka mesti memiliki aspirasi atau wawasan untuk meningkatkan kemampuan syarikat masing-masing. Sebab itu MTDC mencadangkan kepada mereka untuk memilih salah satu teras paling mudah untuk diamalkan dalam hab Industri 4.0, Centre of 9 Pillars (Co9P),” katanya kepada Bernama Radio pada Persidangan dan Pameran Teknologi MTDC (MTCE) 2019 di sini, semalam.

Norhalim juga mengingatkan pemain industri PKS bahawa perubahan ke arah IR 4.0 boleh dilakukan secara berperingkat serta mengikut kemampuan modal dan tenaga kerja syarikat.

“Bagi sesebuah syarikat PKS misalnya, mereka mungkin boleh memulakan proses atau migrasi ke arah automasi. Jika sudah memiliki mesin, mereka boleh meletakkan pengesan, atau mengumpul dan memproses data.

“Proses ke arah IR 4.0 ini sebenarnya tidak sukar. Ia satu perjalanan, satu marathon yang perlu dimulakan dengan langkah kecil dan yang penting usaha ke arah matlamat itu perlu ada,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu juga tidak semestinya melibatkan peralatan mesin, robotik atau inovasi yang berkos tinggi, sebaliknya perlu disesuaikan dengan kemampuan syarikat dan pada masa sama dapat mengoptimumkan produktiviti.

“Tiada maknanya kalau kita ambil inovasi paling canggih pun namun tidak dapat digunakan. Mereka perlu memilih peralatan atau sistem teknologi yang optimum, mampu milik dan boleh diinovasikan lagi dalam jangka panjang untuk perniagaan masing-masing.

“Kita juga menggalakkan usahawan PKS untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta agensi berkaitan inovasi untuk memanfaatkan teknologi dan inovasi sedia ada,” katanya.

Menurut Norhalim, amalan cara kerja berteraskan IR 4.0 juga harus mengimbangi kepentingan penggunaan peralatan pintar yang selari dengan modal insan yang berkemahiran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor berkata, langkah pertama perubahan minda berteraskan IR 4.0 harus dimulakan di peringkat kepimpinan dan pengurusan syarikat PKS.

“Ia juga bergantung kepada kaedah pengurusan modal insan sesebuah syarikat PKS. Seringkali modal insan dilihat sebagai elemen kos berbanding aset syarikat dan cara pemikiran sedemikian perlu diubah sepenuhnya.

“Kini syarikat aeroangkasa seperti Airbus dan Boeing telah mula meletakkan keutamaan kepada modal insan berkepakaran tinggi sebagai pemacu aplikasi IR 4.0. Apa yang mereka mahukan dalam rantaian bekalan kini adalah pembekal yang memiliki modal insan berkepakaran tinggi, kreatif, inovatif dan mampu memenuhi kriteria pasaran yang kompleks,” katanya.

Naguib merupakan antara panel persidangan yang membincangkan topik Penjanaan Dasar Kreatif, Disruptif dan Inovatif untuk IR 4.0.

Seramai 500 peserta mewakili agensi kerajaan, syarikat-syarikat PKS, institusi pengajian tinggi dan pelbagai organisasi berkaitan hadir pada acara dua hari bermula semalam.

Persidangan anjuran MTDC itu juga bertujuan membolehkan usahawan PKS lebih bersedia menghadapi gelombang IR 4.0 dan meninjau peluang luas bagi mengembangkan potensi pasaran masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima PKS raih pelaburan berpotensi RM219.2 juta di Aeromart-Nagoya

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Sebanyak lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia meraih pelaburan berpotensi berjumlah RM219.2 juta dalam sektor aeroangkasa dalam misi ke Aeromart-Nagoya 2019 yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dalam misi baru berakhir itu, yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menyaksikan sebanyak 86 pertemuan perniagaan dijalankan antara syarikat Malaysia dan Jepun.

“Kedua-dua pihak turut menyatakan minat mereka untuk memanfaatkan teknologi maju dalam sektor pembuatan aero,” menurut MED dalam kenyataan.

Aeromart-Nagoya 2019 dari 24-26 September menjadi platform kepada MED untuk menunjukkan kepentingan negara menjadi hab kepada pengeluaran subkomponen dalam rantaian bekalan aeroangkasa, terutamanya untuk pesawat komersial Jepun utama.

Ia turut berminat untuk memulakan kerjasama dengan Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta pembekal komponen.

MED komited untuk memastikan penyertaan yang optimum dan pengantarabangsaan PKS tempatan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti yang dinyatakan dalam Teras Strategik Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai, 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MIDA konsisten bantu PKS laksana industri 4.0

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memahami kesukaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan Industri 4.0 yang berdepan dengan tempoh ekonomi mencabar.

MIDA bekerjasama dengan PKS untuk membantu mereka meningkatkan penggunaan teknologi mereka ke arah menjadi juara serantau atau global.

Industri 4.0 pada dasarnya merujuk kepada trend ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan dan proses termasuk Internet of Things, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan.

Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, selain agensi kerajaan, PKS, yang merangkumi 98.5 peratus daripada perniagaan negara, juga boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan IT, penyepadu sistem dan sektor swasta.

“Kami mengakui bahawa pada masa ini, kebanyakan PKS sama ada di peringkat Industri 2.0, 2.5 atau 3.0, kami boleh membantu dengan menggalakkan mereka melaksanakan Dasar Kebangsaan mengenai Penilaian Kesediaan Industri 4.0 atau (Industry4WRD-RA),” katanya kepada pemberita pada seminar di sini, hari ini.

Penilaian itu, yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas, bertujuan memacu transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan di negara ini. Sebanyak RM210 juta diperuntukkan untuk menyokong program penilaian ini bagi tempoh antara 2019 dan 2021.

Kerajaan menyasarkan untuk menilai 500 syarikat pada tahun ini dan 500 lagi tahun depan.

“Kami mahu PKS kita melihat luar Malaysia dan dengan adanya platform digital, pasaran menjadi tanpa sempadan. Pasaran ASEAN sahaja terdiri daripada asas penduduk sebanyak 650 juta orang,” katanya.

Pada seminar untuk meningkatkan kesedaran mengenai dasar kerajaan dan kemudahan untuk Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE), Sivasuriyamoorthy berkata, insentif utama yang disediakan oleh MIDA sejak dua tahun lepas termasuklah Elaun Modal Automasi untuk syarikat melaksanakan automasi dan robotik.

“Mereka boleh menuntut elaun ini daripada kerajaan dan selain itu, kami juga mempunyai Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebahagian besarnya untuk 60 peratus syarikat milik rakyat Malaysia. Kami telah memperluaskan DISF untuk merangkumi industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Presiden 1MINE, Datuk S Gopinath berkata, persatuan itu kini mendidik 200 ahlinya untuk tidak menjalankan perniagaan secara konvensional, tetapi memanfaatkan trend Industri 4.0 pada masa ini.

“Mereka tidak akan ke mana-mana jika tidak berubah dan perlu mendapat pengiktirafan sebagai usahawan India di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

20 peratus PKS milik wanita, kerajaan komited tingkat penyertaan

OLEH NORHAYATI UMOR

DENGKIL, 4 MAC: Kira-kira 20 peratus perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dimiliki atau dikendalikan wanita di negara ini.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited meningkatkan penyertaan wanita dalam PKS sekali gus membawa pertumbuhan yang ketara dalam ekonomi.

“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan sekitar 20 peratus perniagaan dimiliki, dikendali atau dikelolakan oleh wanita.

“Oleh itu, kerajaan menyedari kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita akan memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi dan mendorong Malaysia ke arah matlamat menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah Selatan, di sini.

Pada masa sama, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyambut baik usaha WEP oleh PLUS Malaysia Berhad.

Katanya, ia selaras dengan hasrat KPWKM terhadap memperkasakan wanita di dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan ekonomi.

“Ia bertepatan dengan usaha untuk memberi manfaat kepada wanita terutamanya golongan ibu tunggal yang tinggal berhampiran dengan kawasan lebuh raya menceburi bidang keusahawanan ini.

“Usaha ini memberi penekanan kepada inisiatif untuk mengarusperdanakan kesaksamaan gender sekali gus memperkasakan, memberi kemahiran dan kompetensi yang relevan,” katanya.

Wan Azizah turut mahu pihak swasta dan korporat lain mencontohi inisiatif PLUS itu dalam memainkan peranan memajukan masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada program atau bantuan daripada kerajaan sahaja.

“Inilah yang dinamakan sebagai ‘Giving back to society’.

“Landasan atau peluang disediakan PLUS ini bukan bermaksud mereka yang dipilih boleh terus berpeluk tubuh dan tidak mengambil inisiatif lain untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Terdahulu, PLUS memperkenalkan WEP yang memberi peluang kepada usahawan wanita menyertai program jangka masa panjang itu.

Sejumlah RM5 juta diperuntukkan menerusi program itu termasuk memberi kursus latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada wanita yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya antaranya ibu tunggal dan golongan B40 berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Categories
SELANGOR

SIRIM terap elemen Industri 4.0 kepada PKS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: SIRIM Berhad (SIRIM) kini membangunkan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam mengguna pakai elemen Industri 4.0 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, PKS perlu mengarap peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan program itu.

Katanya, antaranya program SIRIM-Fraunhofer yang memberi manfaat kepada usahawan melalui audit teknologi dan program intervensi teknologi sesuai dengan keperluan khusus syarikat.

“SIRIM adalah agensi yang dapat membantu usahawan ke arah saranan kerajaan, bermula daripada pembangunan usahawan, penjenamaan, reka bentuk pembungkusan dan mesin serta latihan dan perundingan penambahbaikan produk.

“Dengan kelebihan di dalam penyelidikan dan inovasi teknologi, piawaian industri dan kualiti, SIRIM menawarkan penyelesaian khusus untuk memenuhi keperluan semua sektor industri, menjadikan SIRIM rakan inovasi terbaik untuk PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sijil Program Peningkatan Prestasi/Keupayaan dan Daya Saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKPKS) bagi 2017/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke 11, SIRIM sedar untuk turut terus memperkukuhkan ekonomi menerusi PKS.

“Oleh itu, usaha mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana.

“Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 41 peratus pada 2020.

“Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport,” katanya.