Categories
AGENDA NASIONAL

98.5 peratus kes baharu bergejala ringan, kesan 88 varian Delta

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sebanyak 98.5 peratus atau 6,282 kes daripada jumlah keseluruhan 6,380 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.5 peratus atau 98 kes baharu Covid-19 pula dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 541 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 263 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh Covid-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,760 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,472,283.

Beliau berkata sebanyak 88 kes baharu varian mutasi spike protein Covid-19 dilaporkan dan kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) menjadikan jumlah kumulatif kes VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) kini sebanyak 3,918.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 3,898 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya.

Mengulas lanjut, Selangor mencatatkan kes baharu positif varian VOC tempatan dan import tertinggi hari ini dengan jumlah 19 kes diikuti Perak sebanyak 17 kes, Negeri Sembilan (13 kes), Johor (sembilan), Kelantan (lapan), Kedah (tujuh), Terengganu (enam), Perlis (empat), WP Kuala Lumpur (tiga) dan Melaka (dua).

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA