Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar: Perlu terus waspada walau tiada kawasan terjejas

SHAH ALAM, 4 NOV: Tiada kawasan di Klang dan Sekinchan terjejas dalam fenomena air pasang besar yang menyaksikan air paras laut mencecah sehingga 5.25 meter (m) pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata menerusi tinjauan bersama wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee serta pegawai dari agensi kerajaan mendapati air laut hanya melimpah ke jalan raya.

“Keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun paras air naik setinggi 5.25m.

“Kita terus memantau keadaan dan orang ramai dinasihati terus berhati-hati semasa fenomena ini yang diramal sehingga Ahad,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Nasihat supaya orang ramai terus berwaspada turut dinyatakan wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim yang memaklumkan banjir boleh berlaku sekiranya fenomena air pasang sehingga Ahad ini bertembung dengan angin kencang dan hujan berlarutan.

“Setakat ini tiada kawasan di Sekinchan terjejas seperti berlaku dalam fenomena berkaitan sebelum ini.

“Namun saya nasihat penduduk di kawasan berisiko supaya terus berjaga-jaga dan dengar nasihat pihak berkuasa,” jelasnya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai hari ini di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar serta hujan lebat secara serentak.