Categories
AGENDA NASIONAL

Ikut lunas undang-undang, teliti surat sokongan tandatangan MB, EXCO

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar mahu penjawat awam Selangor supaya bertindak mengikut lunas undang-undang yang tidak melanggar prinsip keterbukaan dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sering mengingatkan barisan EXCO dan Ahli Dewan Negeri supaya tidak memberi arahan kepada kakitangan awam yang bertentangan dengan prinsip berkenaan dan melanggar piagam tugas mereka.

Menurutnya, perkara itu turut membabitkan apabila menerima surat sokongan ditandatangani beliau dan EXCO Kerajaan Negeri.

“Jangan ingat bila nampak tandatangan EXCO, Menteri Besar…semua harus lulus. Kadang-kala kita tulis di situ (minit di surat sokongan) teliti, maklumlah balik penelitian itu.

“Bila nampak tandatangan gigil kata ini kena luluskan, bukan begitu dan masing-masing kena pertahan prinsip itu,” katanya berucap pada majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK di sini, hari ini.

Amirudin juga mahu penjawat awam negeri ini mempunyai sifat tahan uji bagi membawa hasrat memajukan Selangor menjadi negeri maju dan memenuhi permintaan warganya.

Jelasnya, Selangor berbeza dengan negeri lain setiap dasarnya sering menjadi tumpuan seluruh negara dan dihuni ramai golongan berpengaruh yang mempunyai permintaan tersendiri.