Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jelajah Selangor Bekerja bantu kelindan lori mula kerjaya baharu di Proton

HULU SELANGOR, 7 NOV: Jelajah Selangor Bekerja 2021 siri ketiga semalam memberi harapan baharu buat seorang kelindan lori apabila berjaya mendapat pekerjaan di Proton Holding Bhd.

Amirul Ramdan Hasim, 23, pelajar lepasan Diploma Kejuruteraan Politeknik Kuching, Sarawak berkata dia sukar mendapatkan kerja bersesuaian ekoran penularan wabak Covid-19.

Amirul Ramdan Hasim,
23

“Saya habis belajar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh kerana sukar dapat kerja ikut kelulusan, saya lakukan apa saja kerja untuk tampung hidup.

“Hari ini saya datang cuba nasib. Tak sangka dapat kerja mulai Isnin ini. Majikan jamin untuk beri jawatan sesuai dengan kelayakan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu pekerja perkhidmatan penghantaran makanan Mohd Imran Mohd Noor,23, mencuri sedikit masa kerjayanya untuk hadir ke program itu bagi mendapatkan pekerjaan lebih sesuai.

“Saya minat bidang kejuruteraan malah ada diploma dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Tadi saya lihat ada satu syarikat sesuai dengan kelulusan saya.

“Mereka temu duga. Saya harap permohonan diterima dan dapat panggilan dalam masa terdekat,”katanya.

Pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Persekitaran Universiti Teknologi Mara, Nurdalila Aida Mazlan berkata dia berharap ada syarikat menerima permohonannya.

Nurdalila Aida Mazlan, 25

“Saya nak cari kerja sementara sebelum dapat kerja sesuai. Saya faham sekarang sukar mendapatkan kerja bersesuaian dengan kelulusan jadi tidak kisah untuk apa-apa kerja.

“Untuk mereka yang masih belum kerja boleh manfaatkan program ini. Satu langkah Kerajaan Selangor dalam membantu pelajar,” katanya.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 berjalan sejak 23 Oktober mendapat kerjasama hampir 200 syarikat dengan menawarkan lebih 25,000 peluang pekerjaan.

Program diteruskan di tiga lagi lokasi iaitu Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November); Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November) dan Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November).