Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja tumpu lahir tenaga mahir, tawar gaji ideal

HULU SELANGOR, 6 NOV: Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi melahirkan tenaga mahir antara yang ditawarkan dalam Jelajah Selangor Bekerja 2021.

Seramai 20 peserta bawah 35 tahun layak mengikuti program sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0 setakat ini, kata eksekutif kanan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor.

Berbaki 10 kekosongan, program selama dua bulan bermula hujung bulan ini masih dibuka sehingga siri jelajah berkenaan tamat pada 27 November, jelas Juraina Jumali.

“Program dengan kerjasama syarikat peneraju teknologi kecerdasan buatan Skymind memberi jaminan kerjaya dengan gaji lebih RM3,500 sebulan,” katanya ditemui pada Jelajah Selangor Bekerja hari ini.

Majikan syarikat Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC) memberi taklimat kepada seorang peserta program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 6 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM15 juta melalui IKTISASS bagi melengkapkan ekosistem pendidikan latihan teknikal dan vokasional sekali gus mencipta peluang kerja baharu.

Sementara itu, Proton Holdings Bhd menawarkan 200 kekosongan bagi jawatan operator pengeluaran sepanjang sesi jelajah berlangsung mulai Oktober.

Eksekutif Kanannya Shadeli Sham A Khalek berkata pihaknya turut menawarkan jawatan jurutera dengan penelitian dalam temu duga bagi mencari calon yang layak.

“Kita ingatkan peserta yang hadir supaya bersedia dengan segala dokumen selain berpakaian kemas. Syarikat turut menilai aspek itu,” katanya.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program berkenaan yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my.