Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan kit ujian kendiri Covid-19 laris di SELangkah

SHAH ALAM, 9 NOV: Jualan kit ujian kendiri Covid-19 melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) menerima sambutan baik sejak dipasarkan awal bulan ini.

Dua jenis kit dijual iaitu ujian pantas antigen (RTK-Ag) salixium dan air liur yang dibekalkan Farmasi Selcare pada harga RM19.90 seunit, kata pengarah projek SELangkah.

Tanpa mendedahkan jumlah unit terjual, Dr Helmi Zakariah berkata permintaan tinggi daripada mereka yang melancong ke luar negeri dan memiliki ahli keluarga ramai.

“Kita perkenal jualan dalam talian, terhad kepada dua jenis kit paling popular untuk memudahkan orang ramai dengan memilih sama ada guna khidmat penghantaran atau ambil sendiri.

“Penghantaran dicaj RM8 dengan mengambil masa antara dua hingga lima hari bergantung kepada lokasi,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah menjawab pertanyaan moderator dalam program Bual Bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin di Media Selangor pada 28 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Dr Helmi berkata kit air liur mudah dikendalikan selain membantu individu mengenal pasti dan mengawal risiko jangkitan Covid-19 tanpa hadir ke fasiliti kesihatan.

Sementara kit Salixium pula, katanya, pensampelan air liur dan hidung dibuat menggunakan dua alat calitan dan keputusan ujian antara 10 hingga 15 minit.

“Mereka yang membeli kit air liur dibekalkan alat uji, buffer, peranti pengumpulan seperti corong, tiub dan hujung tiub serta beg biokeselamatan.

“Manakala kit Salixium disertakan tiub penyangga pengekstrakan dan penitis, dua calitan pakai buang termasuk beg biokeselamatan,” katanya lagi.

SELangkah menampilkan fungsi terbaharu tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri dengan orang ramai perlu mengemas kini aplikasi untuk menggunakannya.

Selangor membangunkan aplikasi sendiri pada 4 Mei tahun lalu bagi mengelak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat untuk memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.