Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keadaan di Klang terkawal, hati-hati lalui jalan dilimpahi air pasang

SHAH ALAM, 6 NOV: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian maksimum 5.6 meter awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai di Klang dilimpahi air.

Ketua Zon Bomba Klang Hussin Ab Rahman berkata pemantauan dilakukan di beberapa kawasan termasuk Jeti Tok Muda; Pengkalan Sayang DSayang, Jalan Othman Baru; Jalan Pengkalan Nelayan, Rantau Panjang; Jeti Pulau Ketam dan Jalan Pandamaran Jaya.

“Sejak 6.30 pagi tadi keadaan di semua tempat yang dipantau terkawal, seperti di Pandamaran Jaya air pasang naik paling maksimum 5.6 meter, air melepasi jalan namun keadaan masih terkawal, rumah penduduk berdekatan masih selamat diduduki.

“Setakat hari ini tiada lagi laporan penduduk terkesan teruk akibat fenomena ini, cuma ada laman rumah di Kapar dan Rantau Panjang digenangi air, tapi itu keadaan biasa setiap kali air pasang,” katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air selain memperlahankan kenderaan.

“Penduduk yang tinggal berhampiran pantai, diminta sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa.

“Sentiasa pantau anak-anak, keluarga serta patuh arahan pihak berkuasa supaya berpindah sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak,” katanya.