Categories
ADN SELANGOR

Lebih RM80,000 baik pulih jalan Kampung Sungai Gulang-Gulang

SHAH ALAM, 17 NOV: Lebih RM80,000 diperuntuk bagi membaik pulih Jalan SGG TS 5/2 Kampung Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor.

Wakil Rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata kos projek itu menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Kita mendapat aduan daripada penduduk bahawa permukaan jalan raya di sini agak teruk dan perlu dibaiki selain dibimbangi membahayakan pengguna.

“Alhamdulillah jalan sepanjang 820 meter selesai dibaiki menerusi kerja naik taraf bermula 25 Oktober lalu dan siap sepenuhnya pada 15 November,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai menggunakan jalan itu sebaiknya di samping tidak menggalakkan kenderaan berat melalui kawasan tersebut.

Sebelum ini, Jalan SGG TS 5/2 Kampung Sungai Gulang-Gulang mengalami masalah garisan jalan yang samar dan permukaan jalan tidak rata menyebabkan air bertakung ketika hujan.