Categories
AGENDA NASIONAL

Limpahan air pasang kawasan di Klang terkawal, kediaman penduduk selamat

SHAH ALAM, 5 NOV: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian lebih 5.6 meter mengakibatkan beberapa kawasan pesisir pantai di Klang dilimpahi air awal pagi tadi.

Kawasan meliputi Pengkalan Sayang DSayang, Jalan Othman Baru; Jalan Pengkalan Nelayan, Rantau Panjang; Pengkalan Sungai Keramat dan Pengkalan Jeti Sementa, Batu 5.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata peningkatan paras air laut dikesan melalui pemantauan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang serta agensi lain antara jam 5 hingga 7 pagi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang memantau air pasang besar di kawasan pesisiran pantai di Klang pada 5 November 2021. Foto Bomba Selangor

“Air pasang lebih 5.6 meter menyebabkan air melepasi jalan, tetapi keadaan masih terkawal. Rumah penduduk berdekatan juga tidak dinaiki air dan selamat diduduki,” kata Hafisham Mohd Noor dalam kenyataan.

Beliau berkata air pasang di beberapa kawasan sekitar Telok Panglima Garang melebihi paras kebiasaan antaranya Jeti Sritama, Pulau Carey; Jeti Sri Tanjung dan Jeti Sepakat, namun situasi juga terkawal.

Sementara itu katanya, air pasang di beberapa kawasan sekitar Kampung Tok Muda, Kapar iaitu Pengkalan Nelayan dan persisir Ban Jeti Kampung Tok Muda hingga pusat janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bawah paras 5.6 meter.

Di Tanjong Karang pula, Hafisham memaklumkan terdapat limpahan air di beberapa kawasan meliputi Pantai Bagan Pasir, Pantai Bagan Tengkorak, Pantai Rasa Sayang, Pantai Sungai Kajang dan Pekan Tanjong Karang.

Menurutnya situasi sama dilaporkan di Sekinchan, namun masih terkawal dan tiada mangsa dipindahkan.