Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Masalah teknikal paip agihan, bekalan air USJ 1 hingga USJ 27 pulih tengah malam ini

SHAH ALAM, 20 NOV: Bekalan air kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Petaling yang terjejas berikutan insiden penurunan paras air di Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong dijangka pulih sepenuhnya tengah malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan insiden berlaku berikutan masalah teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam berkenaan.

“Air Selangor sedang berusaha untuk mengatasi masalah ‘air lock’ ini dan akan menyalurkan bekalan air secara berperingkat setelah paras kolam air agihan tersebut distabilkan .

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan pada jam 12 tengah malam ini. Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan,” katanya di Facebook.

Maklumat terkini akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.