Categories
AGENDA NASIONAL

Nilai jualan sektor pembuatan naik 11.6 peratus kepada RM135.3 bilion

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 11.6 peratus pada bulan September 2021 kepada RM135.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Nilai jualan meningkat sebanyak 6.9 peratus berbanding bulan sebelumnya, dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (29.2 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (12.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan serta subsektor produk elektrik dan elektronik (10.8 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” kata ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 74.0 peratus daripada jumlah nilai jualan merekodkan kenaikan 15.9 peratus (RM100.2 bilion) manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 1.1 peratus pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit yang dicatatkan bagi eksport perdagangan luar negeri serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan pertumbuhan positif 5.2 peratus dan 12.3 peratus.

Mohd Uzir menambah jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September 2021 adalah seramai 2.23 juta orang, meningkat 1.6 peratus berbanding 2.19 juta orang pada September 2020.

Peningkatan ini disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.5 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.3 peratus) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.5 peratus).

Laporan itu turut menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.48 bilion, meningkat 3.6 peratus atau RM261.8 juta pada September 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Pada suku tahun ketiga 2021, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 6.4 peratus kepada RM381.8 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.2 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (8.8 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (2.9 peratus).

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing meningkat 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada suku tahun ketiga 2021.

Bagi tempoh Januari hingga September 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.1 peratus kepada RM1.13 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

Bilangan pekerja dan gaji dan upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus dan 2.5 peratus iaitu berjumlah 2.23 juta orang dan RM66.6 bilion.

Nilai jualan setiap pekerja bagi sembilan bulan pertama tahun 2021 turut meningkat 13.2 peratus kepada RM505,404.

– BERNAMA