Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM1.2 juta untuk program pembangunan e-sukan

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM1.2 juta diperuntuk tahun depan bagi meneruskan program e-sukan berikutan sambutan menggalakkan daripada golongan belia di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tumpuan khusus untuk program pembangunan dan penganjuran jelajah ke seluruh negeri.

“Selangor sentiasa menjadi peneraju perkembangan e-sukan di negara. Beberapa acara e-sukan peringkat serantau dan antarabangsa pernah dianjurkan sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata dana sama turut diberikan bagi inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang disambut baik sejak tahun lalu, terutama yang terlibat dengan industri penghantar makanan.

Amirudin menjelaskan sebanyak 8,143 permohonan diterima Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dengan 3,227 daripadanya telah mendapat manfaat.

Sementara itu, katanya, sebanyak RM2.8 juta diperuntuk bagi program dan aktiviti Penggerak Belia Selangor (PeBS) sebagai ejen penggerak generasi muda.

“Kerajaan Negeri juga menambah baik Dasar Belia Selangor 2014 dengan membentuk Dasar Belia Selangor 2020 sebagai panduan pembangunan generasi muda bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Keseluruhannya, sebanyak RM14.49 juta diperuntuk bagi memastikan agenda pembangunan generasi muda dan sukan diteruskan tahun depan.