Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program pembangunan dron, kejuruteraan penerbangan diperkenal di Unisel

SHAH ALAM, 26 NOV: Program kepintaran buatan dan pembangunan dron selain program ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan penerbangan bakal diperkenal di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada sektor itu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati-Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran dan kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

“Usaha-usaha ini akan mewujudkan peluang pelaburan baru bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron bertempat di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya.

“Tawaran kursus latihan jangka pendek dan program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh untuk menyokong industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Amirudin, Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta bagi menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa.

Menurut beliau, acara yang menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia itu diharap dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.