Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program pembangunan dron, kejuruteraan penerbangan diperkenal di Unisel

SHAH ALAM, 26 NOV: Program kepintaran buatan dan pembangunan dron selain program ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan penerbangan bakal diperkenal di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada sektor itu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati-Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran dan kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

“Usaha-usaha ini akan mewujudkan peluang pelaburan baru bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron bertempat di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya.

“Tawaran kursus latihan jangka pendek dan program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh untuk menyokong industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Amirudin, Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta bagi menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa.

Menurut beliau, acara yang menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia itu diharap dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jumlah Pampasan Air : Selangor Tunggu Keputusan Timbang Tara

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 4 FEB : Tawaran harga pampasan kepada empat syarikat konsesi air Selangor dalam usaha mengambil alih perkhidmatan air akan ditentukan melalui proses timbang tara antarabangsa.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sementara pengagihan air terawat pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dimaklumkan kemudian selepas semua prosedur dilaksanakan.

Katanya, syarikat konsesi boleh memaklumkan jangkaan harga tawaran itu kepada media tetapi Kerajaan Negeri menunggu hasil keputusan perunding timbang tara antarabangsa.

“Buat masa ini kita tidak umumkan berapakah jumlahnya kerana ia ada hubungan dengan ‘security commision’, kita tidak boleh membuat pengumuman sekarang kerana ia adalah maklumat sensitif dan melibatkan bursa saham.

“Jadi kita akan umumkan semasa kita mahu ambil alih nanti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvesyen Pendidikan Antarabangsa di Universiti Industri Selangor (Unisel) 2013.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan akan mengambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

Usaha mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat tersebut adalah sebahagian daripada objektif Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menstruktur semula industri air.

Categories
NASIONAL SELANGOR

430 Projek Tertangguh Didakwa BN, Sudah Diselesaikan Kerajaan Negeri

mb

SHAH ALAM 4 FEB : Krisis air yang menyebabkan 430 projek pembangunan ditangguhkan seperti yang didakwa oleh Umno-BN kini sudah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hal itu diselesaikan selepas Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) membenarkan perkara itu diluluskan.

Katanya, selain Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Kerajaan Negeri turut mempunyai kuasa bagi memberi kelulusan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perjanjian konsesi.

“Semua pentadbiran air ini dibawah Pengarah Kawal Selia Air di bawah UPEN, jadi jika Syabas tidak beri kelulusan tetapi UPEN beri kelulusan maka ia boleh dilaksanakan.

“Jadi ia tidak ada masalah, sebab UPEN sudah beri kelulusan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan 2013 di Universiti Selangor (Unisel).

Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ; Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa krisis air di Selangor menyebabkan 430 projek pembangunan terpaksa ditangguh dan berbilion pelaburan tidak diperoleh di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menyelamatkan Syabas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM120 juta.

Peruntukan ini dakwanya lagi menjadikan jumlah dana yang diberi kepada Syabas meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Katanya, peruntukan tambahan itu juga membuktikan bahawa krisis air di Selangor dan Kuala Lumpur tiada kaitan dengan keperluan untuk penyaluran air dari projek Langat 2.

“Sebaliknya, ia membuktikan bahawa krisis itu adalah disengajakan oleh SYABAS untuk menaik taraf loji rawatan, membina kapasiti air tambahan yang dirawat serta membaiki dan menggantikan paip lama dan pecah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.