Categories
PBT SELANGOR

Tidak culas bayar cukai taksiran, warga emas menang cabutan bertuah

KAJANG, 1 NOV: Sikap tidak culas membayar cukai taksiran setiap tahun membawa tuah kepada seorang warga emas selepas terpilih antara pemenang cabutan bertuah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2021.

Menerusi cabutan itu bapa kepada tiga anak, R.Periasamy,67, membawa pulang sebuah basikal jenis ‘mountain bike’.

R. Periasamy, 67

“Setiap tahun saya akan hadir ke pejabat MPKj untuk membuat bayaran penuh.

“Saya terkejut apabila mendapat surat daripada MPKj mengatakan terpilih sebagai salah seorang pemenang cabutan bertuah,” katanya yang bercadang memberikan basikal itu kepada anaknya.

Dia ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen itu di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini yang disampaikan Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain.

Sementara itu, Lee Kee Bau, 53, yang membawa pulang hadiah motosikal berkata pembayaran awal cukai taksiran membantu memudahkan MPKj membuat rancangan dan belanjawan untuk penduduk.

“Selain memudahkan urusan, pembayaran awal dan penuh juga mengelakkan daripada dikenakan denda,”katanya.

Terdahulu pada majlis itu seramai 45 pemegang akaun cukai taksiran dipilih sebagai pemenang dalam cabutan bertuah menerusi Kempen yang dilancar pada 1 Januari hingga 28 Februari.

Antara hadiah ditawarkan ialah satu unit motosikal Yamaha Y15, enam unit basikal pelbagai jenis, lapan unit televisyen android, 10 unit telefon pintar dan 20 unit barangan elektrik.