Categories
AGENSI SELANGOR

Yide perkemas kutipan kupon Infaq Ramadan, bantu anak yatim

SHAH ALAM, 16 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan memperkemas kutipan infaq Ramadan tahun depan dalam membantu anak yatim di Selangor.

Pengurus Besarnya berkata komitmen dicapai melalui perbincangan bersama Ketua Jabatan Pengurusan Penolong Amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) Zaidi Rasid semalam.

Nur Mohd Razali Abdullah memaklumkan pihaknya menyambut baik setiap pandangan dilontarkan wakil LZS dalam mencorak perancangan kutipan tersebut.

“Insya-Allah pemerkasaan kutipan kupon Infaq untuk Ramadan tahun depan diperkemaskan dan setiap kutipan diterima akan disalurkan 100 peratus kepada anak yatim,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau menambah kutipan kupon Infaq Ramadan tahun ini agak memberangsangkan berbanding tahun terdahulu meskipun dalam situasi pandemik Covid-19.

Yide dengan kerjasama LZS memperkenalkan kupon Infaq pada 2017 dalam usaha mencari dana tambahan khusus membantu masyarakat memerlukan di negeri ini.

Pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan kupon bernilai RM2 yang diedarkan bersama kupon zakat fitrah.

Infaq dikeluarkan melalui kupon itu adalah inisiatif membantu dalam tiga aspek utama membabitkan hal ehwal malapetaka atau musibah, perkhidmatan rawatan hemodialisis dan program anak yatim.