Categories
EXCO SELANGOR

29 kampung Orang Asli diwarta, elak isu ceroboh tanah

SHAH ALAM, 8 DIS: Sebanyak 29 daripada 75 tanah perkampungan Orang Asli di negeri ini sudah diwartakan setakat ini, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian berkata kawasan tersebut melibatkan 13 kampung di daerah Kuala Langat, lapan di daerah Sepang, tiga di Hulu Langat, dua masing-masing di Sepang dan Gombak serta satu di Klang.

“Semua 13 perkampungan Orang Asli ini mempunyai keluasan lebih 1672.6 hektar. Pewartaan ini di bawah Rizab Sakai, Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Seksyen 6 Akta Orang Asli atau Seksyen 7 Akta Orang Asli,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung status terkini pewartaan kampung Orang Asli di Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 17 Oktober, Dato’ Menteri Besar menjangka pewartaan tanah perkampungan Orang Asli di Selangor selesai penggal ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan penempatan mereka terjamin di samping tidak terbeban dengan pembangunan di kawasan sekitar.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) giat menjalankan kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan dan penempatan Orang Asli negeri ini termasuk isu pertindihan hak milik tanah antara individu dan syarikat.

Kawasan yang perlu diwartakan meliputi Gombak, Petaling, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat.