Categories
AGENDA NASIONAL

Angkasawan negara kongsi ilmu sains, keibubapaan di Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 5 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 menampilkan angkasawan negara bagi mendidik dan memupuk masyarakat terutama kanak-kanak mencintai ilmu sains dan teknologi.

Selain menandatangi buku tulisannya seperti My Way of Parenting dan The 49th Rule, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha turut berkongsi pengalamannya ke angkasa lepas pada 2007.

Beliau juga meluangkan masa menghadiri seminar untuk berkongsi ilmu keibubapaan bersama audiens di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

“Saya seronok berada di Pesta Buku Selangor kerana dapat berkongsi pengalaman dan berjumpa ibu bapa supaya mendidik anak-anak suka membaca dan menguasai pelbagai ilmu terutama sains dan teknologi yang penting pada masa kini,” katanya.

Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober 2007.

Dr Sheikh Muszaphar, 49, yang juga doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia berada di stesen berkenaan selama 10 hari.

Pesta buku yang berlangsung selama 11 hari sejak Khamis menampilkan lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa berserta diskaun menarik selain dimeriahkan dengan 152 gerai jualan.

Bermula dari 10 pagi hingga 9 malam dan dilanjutkan ke 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, pesta itu juga menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian dan cabutan bertuah RM500 setiap hari.