SHAH ALAM, 21 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan 5,000 kit ujian air liur untuk diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata alatan itu satu keperluan bagi memastikan kes Covid-19 di PPS dikesan lebih awal.
“Menyedari bahawa kit ujian air liur juga keperluan bagi memastikan kes Covid di PPS (jika ada) dapat dikesan awal, maka CSR MBI Selangor ambil inisiatif untuk menyediakan stok 5,000 untuk diagihkan ke setiap PPS,” tulisnya di Instagram.
Pada Sabtu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan semua agensi berkaitan membantu penduduk terjejas susulan banjir, termasuk memindahkan mereka ke PPS.
Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil di PPS, beliau berkata Kerajaan Negeri akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.
Setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 203 PPS dibuka di sembilan daerah di seluruh negeri bagi menempatkan 30,632 mangsa yang masih terjejas.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.