Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih 5,000 kit ujian air liur ke pusat pemindahan

SHAH ALAM, 21 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan 5,000 kit ujian air liur untuk diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata alatan itu satu keperluan bagi memastikan kes Covid-19 di PPS dikesan lebih awal.

“Menyedari bahawa kit ujian air liur juga keperluan bagi memastikan kes Covid di PPS (jika ada) dapat dikesan awal, maka CSR MBI Selangor ambil inisiatif untuk menyediakan stok 5,000 untuk diagihkan ke setiap PPS,” tulisnya di Instagram.

Pada Sabtu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan semua agensi berkaitan membantu penduduk terjejas susulan banjir, termasuk memindahkan mereka ke PPS.

Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil di PPS, beliau berkata Kerajaan Negeri akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.

Setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 203 PPS dibuka di sembilan daerah di seluruh negeri bagi menempatkan 30,632 mangsa yang masih terjejas.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 di sekolah KPM perlu guna kit ujian air liur sahaja

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Pelaksanaan saringan ujian Covid-19 di semua sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 Nov 2021.

Merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk “Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar”, KPM telah menjalankan siasatan dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

Menurut KPM, secara keseluruhan, seramai 16 murid di sekolah berkenaan telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.

“Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua jururawat masyarakat,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPM menjelaskan, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Menurutnya, pada 28 Nov 2021 KPM telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid.

Berdasarkan surat siaran tersebut, katanya pelaksanaan ujian kendiri hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Galak saringan kendiri, DUN Bukit Gasing sedia kit ujian air liur

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menyediakan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur pada harga bawah pasaran.

Wakil rakyat R Rajiv berkata sebanyak 1,000 kit itu dijual pada harga RM10 berbanding harga pasaran tetapi setiap individu dihad kepada lima kit sahaja.

“Kita berikan subsidi ini kerana mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat melakukan saringan Covid-19 walaupun hanya di rumah.

“Kita faham ada segelintir individu takut hendak ke klinik untuk buat ujian calitan. Kita harap ramai orang ambil peluang kerana kita jual murah berbanding pasaran sekitar RM30 ke RM40,” katanya kepada SelangorKini.

Individu yang berminat boleh ke pusat khidmat masyarakat DUN Bukit Gasing setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Selain inisiatif DUN itu, Kerajaan Selangor juga menyediakan 60,000 kit kendiri sedemikian secara percuma kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi di negeri ini mulai September.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 Ogos berkata kit tersebut akan dibekal kepada semua 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN.

Categories
AGENDA NASIONAL

60,000 kit ujian air liur untuk keluarga positif Covid-19

SHAH ALAM, 12 OGOS: Sebanyak 60,000 kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur akan diagih kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini mulai September.

Dato’ Menteri Besar  Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit berkenaan akan dibekal kepada 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerajaan Negeri melalui Selgate Healthcare akan membekal 60,000 kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur kepada keluarga-keluarga positif,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata program Vaksin Selangor (Selvax)  juga memperluas pemberian suntikan kepada kelompok tertentu, terbaru suntikan kepada golongan atlet.

Menjawab soalan, beliau berkata Kerajaan Negeri juga sedia meneruskan saringan Covid-19 berdasarkan kes di sesebuah lokasi khususnya melibatkan kematian.

“Contohnya, ada permohonan wakil rakyat di Subang Jaya selain di Kota Anggerik yang ada 17 kematian dan lakukan saringan di kawasan kejiranan sahaja,” kata beliau.