Categories
AGENDA NASIONAL

22.9 juta dewasa lengkap vaksin, 41 peratus terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Seramai 237,703 individu dewasa menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 9,609,454 atau 41 peratus setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,906,072 atau 97.8 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 23,185,749 individu atau 99 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,775,059 individu atau 88.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi sementara 2,862,198 individu atau 91 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 242,705 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 1,912 dos pertama, selain 3,090 dos lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,135,763 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 16 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu lima kematian diikuti Terengganu tiga kematian serta Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan dua kematian.

-BERNAMA