Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

77 termasuk 11 wanita terima watikah pelantikan ketua kampung baru, bagan

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 77 individu termasuk 11 wanita menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi penggal 2022-2023 seluruh Selangor semalam.

Majlis penyampaian watikah disempurnakan EXCO Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Sze Han berkata daripada jumlah itu 22 merupakan lantikan baharu termasuk dua anak muda dari Kampung Baru Gurney, Batang Kali dan Kampung Baru Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu.

“Tahniah diucapkan kepada semua dan anda adalah wakil Kerajaan Negeri bagi memastikan Kampung Baru/Bagan dan Tersusun dapat membangun seiring dengan kepesatan pembangunan negeri.

“MPKK tidak lagi boleh dilihat sebagai hanya sebuah perantara akar umbi dan pihak berkuasa bagi penyelesaian isu semasa sebaliknya perlu berperanan sebagai penggerak bagi pembangunan sosial dan ekonomi di kampung masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sze Han turut menasihatkan individu yang baharu dilantik dapat menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan sentiasa merujuk dengan orang yang lebih berpengalaman bagi sebarang urusan berkaitan.

“Saya berharap anda dapat melantik segera biro MPKK termasuk turut melibatkan golongan muda supaya gerak kerja menjadi lebih tangkas dengan idea yang segar,” katanya.

Pada majlis sama, turut dilantik tujuh pegawai perhubungan perkampungan bagi penggal 2022-2023.