Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

77 termasuk 11 wanita terima watikah pelantikan ketua kampung baru, bagan

SHAH ALAM, 19 JAN: Seramai 77 individu termasuk 11 wanita menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi penggal 2022-2023 seluruh Selangor semalam.

Majlis penyampaian watikah disempurnakan EXCO Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Sze Han berkata daripada jumlah itu 22 merupakan lantikan baharu termasuk dua anak muda dari Kampung Baru Gurney, Batang Kali dan Kampung Baru Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu.

“Tahniah diucapkan kepada semua dan anda adalah wakil Kerajaan Negeri bagi memastikan Kampung Baru/Bagan dan Tersusun dapat membangun seiring dengan kepesatan pembangunan negeri.

“MPKK tidak lagi boleh dilihat sebagai hanya sebuah perantara akar umbi dan pihak berkuasa bagi penyelesaian isu semasa sebaliknya perlu berperanan sebagai penggerak bagi pembangunan sosial dan ekonomi di kampung masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sze Han turut menasihatkan individu yang baharu dilantik dapat menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan sentiasa merujuk dengan orang yang lebih berpengalaman bagi sebarang urusan berkaitan.

“Saya berharap anda dapat melantik segera biro MPKK termasuk turut melibatkan golongan muda supaya gerak kerja menjadi lebih tangkas dengan idea yang segar,” katanya.

Pada majlis sama, turut dilantik tujuh pegawai perhubungan perkampungan bagi penggal 2022-2023.

Categories
BERITA UTAMA

Agong serah watikah pelantikan Hakim Besar Malaya

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed di Istana Negara, di sini.

Pelantikan Azahar yang berkuat kuasa hari ini dibuat selaras Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Zaharah Ibrahim yang bersara, pada 16 Mei lalu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana itu turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop.

Azahar, 63, adalah bekas Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan dan berpengalaman luas dalam bidang kehakiman.

Beliau dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan mempunyai pengalaman selama tiga tahun selaku hakim Mahkamah Rayuan sejak 2011 hingga 2014.

Pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics and Political Science itu pernah dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi sejak 2006 hingga 2011 selain Pesuruhjaya Kehakiman pada 2004.

Turut menerima Surat Cara Pelantikan selaku Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli yang sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Selain itu, empat hakim Mahkamah Tinggi turut dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan P. Ravinthran.

Tujuh pesuruhjaya kehakiman dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka adalah Datuk Roslan Abu Bakar, Datuk Abdul Wahab Mohamed, Datuk Hassan Abdul Ghani, Chan Jit Li, Datuk Muhammad Jamil Hussin, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Khadijah Idris.

Kesemua mereka bakal mengangkat sumpah jawatan dan taat setia yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya petang ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor serah watikah perlantikan panel tetap hakim

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor.

Mendahului senarai adalah Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dimulakan Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, Datuk Hussin Harun, Datuk Aidi Moktar, Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh dan Datuk Yusof Musa.

Sultan-Selangor-Sultan-Sharafuddin-Idris-Shah1Pelantikan berkuatkuasa pada 1 Februari itu dibuat selaras Seksyen 57(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Turut menerima tauliah, Abas Nordin sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor manakala Che Abdullah Che Hassan dan Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor.

Pelantikan ketiga-tiga mereka dibuat dibawah Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

EZY