Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas juara remaja dunia ikut jejak Zii Jia kemuka rayuan kepada BAM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei mengikuti jejak pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mengemukakan rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan penggantungan selama dua tahun ke atasnya.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018 menghantar surat rayuan berkenaan melalui e-mel semalam.

“Kami baru sahaja menerima surat rayuan daripadanya semalam. Oleh itu, kita akan melalui proses yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jin Wei, mengumumkan persaraan dan keluar dari BAM pada September tahun lepas sebelum bergerak sebagai profesional, digantung daripada beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021.

Pada Isnin, Zii Jia mengemukakan surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun oleh BAM berikutan tindakannya meninggalkan badan induk sukan itu.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan berhubung rayuan dikemukakan yang membawa kepada keputusan yang baik.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi restu kepada Zii Jia untuk menjadi pemain profesional.

“Saya gembira kami dapat selesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional,” kata Zii Jia melalui hantaran di Facebook semalam.

Pada Jumaat, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos mengumumkan bahawa BAM tidak akan mendaftar Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Jan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada 11 Jan dan mengatakan tidak mampu berdepan tekanan dan ‘gaya hidup’ di BAM.

-BERNAMA