Categories
AGENDA JENAYAH

HARAPAN gesa kerajaan sedia aset hadapi bencana, tumpu perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 JAN: Ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang bencana banjir besar pada masa depan termasuk menyediakan aset yang mencukupi.

Dalam sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam ahli parlimen HARAPAN juga mahu kerajaan mengambil serius soal fenomena perubahan iklim yang menjejaskan negara ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu kerajaan berterus-terang adakah aset negara mencukupi untuk berdepan dengan bencana berskala besar.

“Saya ingin bangkitkan mengenai aset-aset kerajaan selepas melihat pengurusan banjir yang lepas.

“Berterus teranglah adakah aset kita mencukupi untuk berhadapan dengan bencana berskala besar ini? Senaraikan aset-aset ini dan jika perlu Kementerian Kewangan peruntukkan dana yang besar untuk selesaikan masalah ini demi keselamatan,” ujar beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang kawasannya turut terjejas akibat banjir menggesa kerajaan memberi fokus kepada usaha membaik pulih di Lembah Klang.

“Proses membaik pulih banjir di Lembah Klang perlu difokuskan kerana kawasan itu merupakan pusat ekonomi Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pula menggesa proses desentralisasi dilaksana dengan meletakkan Nadma di bawah Kerajaan Negeri bagi memudahkan pengurusan bencana terutama banjir.

“Desentralisasi ini adalah dalam usaha pencegahan banjir, bantuan bencana, usaha menyelamat dan pengurusan pemulihan,” kata beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pula menyarankan satu perjumpaan dalam tempoh enam bulan lagi diadakan menerusi jawatankuasa khas yang mampu menyelaras dan mengukur keberkesanan kementerian, negeri dan agensi terlibat dalam mengurus bencana.

“Perjumpaan ini mampu memberi hasil kepada Malaysia agar kalis bencana dan cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian kepada soal perubahan cuaca.

“Kita semua sebut hujan berlaku luar biasa tetapi kita harus tahu ini adalah cuaca fenomena baharu yang kita akan lihat lebih lagi pada hari-hari mendatang,” katanya.

“Kita perlu bersiap sedia dan saya harap kerajaan dapat beri cadangan bernas dan ambil tindakan untuk melaksanakannya.”

Ahli parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pula mengesyorkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mewujudkan satu unit khas di peringkat negeri yang fokus kepada soal bencana.

“Jika bencana tidak berlaku unit ini perlu melawat ke daerah-daerah bagi melihat persiapan depot simpanan makanan dan cadangan pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya.

Ahli parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah turut menggesa kerajaan memberikan pampasan kepada setiap isi rumah yang terjejas banjir antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Oleh kerana tiada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk biayai kerosakan ini, kita boleh dapatkan bantuan daripada pelbagai agensi seperti Petronas,” katanya.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa kerajaan pusat tidak serius dalam menangani masalah banjir kerana sepatutnya perkara itu dibincang dalam sidang parlimen pada 20 Disember lalu.

“Berapa banyak pembaziran yang dilakukan dengan memanggil wakil rakyat di seluruh negara tetapi tiada perbincangan, isu banjir juga tidak dibahas walaupun diminta,” jelasnya.