Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni penghuni 31 rumah terjejas banjir di Puchong

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak 31 rumah yang terkesan banjir di Kampung Tengah, Puchong menerima bantuan baik pulih daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata sebahagian isi rumah terjejas didaftar sebagai asnaf dan dibantu untuk baik pulih rumah manakala sebahagian lagi menerima Bantuan Banjir Zakat Selangor (LZSPeduli).

“LZS turut membuat serahan barangan keperluan asas kepada beberapa wakil penerima asnaf seperti toto, barang keperluan solat dan makanan.

“Selain itu, LZS juga menyerahkan dana baik pulih kepada Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah berjumlah RM35,000 akibat daripada bencana banjir baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook.

Agensi berharap dengan dana tersebut ahli kariah dan orang ramai dapat menggunakan kembali fasiliti masjid berkenaan dan beribadah dengan sempurna.

LZS menambah serahan bantuan dan ziarah itu dirasmikan Ketua Divisyen Operasi Agihan Sabirin Sarbini yang disertai pegawai operasi Daerah Petaling, penghulu, nazir dan ketua kampung.