SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang kini mencapai usia 25 tahun akan mengadakan program sempena sambutan Jubli Perak sepanjang tahun ini.
Yang dipertuanya berkata antara program yang dirancang adalah Perasmian Kaunter Bersepadu dan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak yang akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari pada 28 Januari ini.
“Antara inisiatif yang dirancang termasuk Baucar Khas Bayaran Cukai Taksiran RM10 untuk pembayaran setahun melalui sistem e-bayar MPKj bagi tahun 2022 untuk 5,000 akaun pembayar cukai taksiran terawal Januari 2022 dan 5,000 akaun terawal pada Februari.
“Tujuan MPKj melaksanakan insentif ini sebagai penghargaan kepada pembayar cukai, menggalakkan pembayar cukai membuat bayaran melalui e-bayar dan menggalakkan pembayar cukai mengemas kini maklumat pegangan dan maklumat pemilik,” kata Najmuddin Jemain.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Bil 1/2022, MPKj pada hari ini.
Najmuddin berkata pihaknya juga memberi tawaran kompaun RM10 bagi kesalahan meletak kenderaan sehingga 28 Februari.
“Kempen ini adalah terhad kepada pesalah-pesalah bagi kesalahan yang diperuntukkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007,” katanya.
Inisiatif lain yang ditawarkan adalah potongan 25 peratus bagi kos sewaan dewan komuniti, bayaran sewaan Disember melibatkan premis milik MPKj (50 peratus) dan bayaran sewa premis milik MPKj untuk enam bulan ke hadapan (25 peratus).