SHAH ALAM, 17 JAN : Seramai 928 individu hadir menerima dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran, semalam.
Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata majoriti penerima hadir secara terus berbanding daftar awal menerusi dalam talian.
“Saya tidak sangka sambutan amat menggalakkan malah ada beberapa individu yang sanggup beratur seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan dos penggalak ini.
“Ada juga individu yang sudah dapat janji temu di MySejahtera tetapi kerana tarikh itu lambat lagi mereka memilih untuk ambil dengan kita. Kita bantu dengan hubungi talian HelpDesk bagi membatalkan janji temu tersebut,” katanya kepada SelangorKini.
Tony berkata pihaknya berharap Kerajaan Negeri mempertimbang untuk mengadakan siri kedua program Selvax Booster susulan sambutan menggalakkan.
“Jika ada peruntukan dos daripada Kerajaan Selangor kita bersedia untuk anjurkan lagi program ini pada masa akan datang,” katanya.
Suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster diadakan di tujuh DUN mulai 17 Disember tahun lepas.
Bermula di Balakong, program turut diadakan di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember), Kuala Kubu Bharu (9 Januari) dan Tanjung Sepat (14 Januari).
Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.