SHAH ALAM, 24 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa sukacita dengan usaha dan inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh Selangor pada 18 Disember tahun lalu.
Ia susulan tindakan proaktif LZS mengagihkan sumbangan awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berupa 5,000 pek makanan bermasak, makanan kering dan barang keperluan harian seperti mana dititah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Baginda menitahkan agensi Kerajaan Negeri itu menyegerakan bantuan kepada mangsa terjejas di setiap daerah sebaik dimaklumkan mengenai bencana terburuk dalam tempoh 20 tahun itu.
“Bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM600 kepada mangsa banjir dalam kalangan asnaf dan bukan asnaf turut disalurkan.
“LSZ turut menyediakan platform portal, LZS Peduli untuk menyegerakan dan mempermudah proses permohonan bantuan,” menurut Selangor Royal Office menerusi Facebook.

Sultan Selangor berharap bantuan LZS itu dapat mengurangkan beban mangsa banjir yang terkesan dan berupaya membantu mereka bangkit kembali selepas dilanda musibah.
LZS mengeluarkan bantuan zakat kepada 47,413 penerima dalam kalangan mangsa bencana itu berjumlah RM37.17 juta sehingga 31 Disember tahun lalu.