SHAH ALAM, 6 FEB: Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) kini di peringkat penyelarasan akhir sebelum diagih kepada golongan yang layak.
Perkara itu dimaklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengulas pertanyaan pengguna Facebook Muhammad Hazim mengenai bantuan RM300 yang dibentang dalam Belanjawan Selangor 2022 pada November lalu.
“Peruntukan RM300 sebulan adalah untuk program Bingkas, bukan Kiss (Kasih Ibu Smart Selangor).
“Program tersebut belum bermula kerana dalam penyelarasan fasa akhir,” katanya, hari ini.
Pada 4 Disember lalu dilaporkan seramai 21,000 penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan Kiss Ibu Tunggal (Kiss-IT) akan menerima manfaat Bingkas.
Amirudin berkata inisiatif terbaharu melalui Belanjawan #Selangor2022 membolehkan golongan terbabit mendapat RM300 sebulan berbanding RM200 pada masa kini.
Belanjawan negeri dibentangkan Amirudin pada November lalu memperuntukkan RM108 juta bagi inisiatif Bingkas, yang bakal memanfaatkan 180,000 individu di negeri ini.