SHAH ALAM, 12 FEB: Pesakit Covid-19 dibahagikan kepada lima tahap jangkitan, termasuk tiada gejala (kategori 1). Paling teruk, pesakit perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (kategori 5).
Kategori 2 pula pesakit yang bergejala ringan tetapi tiada radang paru-paru. Sejak kejayaan vaksinasi, kira-kira 99 peratus pesakit dalam kategori 1 dan 2 sahaja.
Namun kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membahagi kategori 2 kepada 2A (ringan) dan 2B (sederhana) bagi menghadapi gelombang varian Omicron.
Kategori 1 dan 2A tidak perlu ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) jika keadaan tidak bertukar teruk. Pesakit hanya perlu mengemas kini tahap kesihatan menggunakan kit penilaian di rumah (HAT) di aplikasi MySejahtera.
Namun pesakit kategori 2A mestilah tidak berisiko tinggi, bawah 60 tahun dan tidak mempunyai lebih satu penyakit (comorbid). Pesakit kategori 2B hingga 5 mesti merujuk CAC walau tidak berisiko tinggi.
Bagaimana kita bezakan kategori 2A dengan 2B? Wartawan NADIAH ZAMLUS menjelaskan simptom yang dialami pesakit berdasarkan pecahan kategori 2 seperti ditetapkan KKM.
Kategori 2A
- Sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas
- Batuk tanpa demam atau sesak nafas
- Hilang deria rasa tetapi masih ada selera makan
- Hilang deria bau
- Cirit-birit dua kali (atau kurang) dalam masa 24 jam
- Loya dan muntah
- Keletihan tetapi boleh melakukan aktviti harian
- Sakit otot tetapi boleh melakukan aktiviti harian
Kategori 2B
- Demam berpanjangan selama dua hari (dan lebih) atau baru demam
- Sukar bernafas apabila melakukan aktiviti
- Sakit dada
- Hilang selera makan
- Berasa letih terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun tidur
- Perlu berjalan dengan bantuan
- Gejala semakin teruk seperti batuk, loya, muntah atau cirit-birit yang berterusan
- Tahap kesedaran berkurangan
- Semakin kurang kencing dalam tempoh 24 jam
Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 7 Februari 2022 I ‘5 Tahap Jangkitan Covid-19’, infosihat.gov.my