Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gagal di sekolah cetus semangat belajar, graduan terima Anugerah Canselor

KUALA SELANGOR, 6 FEB: Gagal dalam peperiksaan di sekolah tidak mematikan semangat seorang graduan belajar bersungguh-sungguh hingga meraih Anugerah Canselor Universiti Selangor (Unisel) 2020.

Muhammad Farid Wahid, 27, yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, ketika bersekolah, beliau juga merupakan pelajar di kelas belakang.

“Saya bukan kelas pandai tetapi kelas belakang. Cikgu pernah cakap kalau awak gagal tak bermakna tak boleh berjaya dalam kehidupan yang penting terus usaha belajar. Belajar dari kegagalan.

“Saya tak pernah jangka untuk terima anugerah ini kerana ada orang yang lebih bijak. Tiada apa-apa rahsia cuma saya belajar hanya untuk faham seperti orang lain,” katanya yang kini bekerja sebagai eksekutif di Petronas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini semalam.

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor 2021, Muhammad Yusairi Yusuf Yap, 24, berkata minat mendalam terhadap teknologi komputer sejak berusia empat tahun membantunya mencapai keputusan cemerlang.

“Waktu berusia 12 tahun saya sudah mencipta permainan komputer dan aplikasi untuk telefon, jadi bila sambung belajar saya pilih bidang berkaitan.

“Sejujurnya saya tidak jangka terima anugerah ini kerana saya belajar kerana minat terhadap teknologi,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Perisian Komputer.

Kejayaan Muhammad Yusairi yang kini bekerja sebagai jurutera perisian di Razer Inc dan Muhammad Farid membolehkan masing-masing menerima plak, sijil dan wang tunai RM5,000.