Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Klinik Selcare tawar dos penggalak, tempah janji temu menerusi SELangkah

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 150 slot dos penggalak diperuntukkan setiap hari di semua klinik Selcare melalui program Vaksin Selangor (Selvax Booster) pada Mac ini.

Ketua pegawai operasi Selgate Healthcare Sdn Bhd menggalakkan orang ramai membuat pra daftar dan menebus kod baucar mengikut klinik yang tersenarai dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Mereka perlu mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan suntikan penggalak supaya tidak berlaku kesesakan di kawasan klinik,” kata Tengku Iesta Tengku Alaudin ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau menambah klinik Selcare hanya menyediakan vaksin Sinovac kepada individu yang lengkap dua dos vaksin jenis sama.

Program Selvax Booster yang dilaksana sejak 8 Disember 2021 memperuntuk sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berikut cara mengaktifkan kod baucar di aplikasi SELangkah:

1. Tekan ikon ‘Selvax’

2. Tekan ikon ‘Tempahan Diri Sendiri’

3. Tekan ikon ‘Dos Penggalak’

4. Tekan ‘Tempah’

5. Masukkan butiran peribadi dan tekan ‘Pengesahan’

6. Masukkan nombor ‘One-Time Password’ (OTP) yang diterima dan tekan ‘Sahkan OTP’

7. Pilih lokasi dan tarikh

8. Masukkan kod baucar dan tekan ‘Guna Baucar’

9. Tekan ‘Tebus Baucar’

10. Tekan ‘Cetak’ dan bawa resit ke janji temu