Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Klinik Selcare tawar dos penggalak, tempah janji temu menerusi SELangkah

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 150 slot dos penggalak diperuntukkan setiap hari di semua klinik Selcare melalui program Vaksin Selangor (Selvax Booster) pada Mac ini.

Ketua pegawai operasi Selgate Healthcare Sdn Bhd menggalakkan orang ramai membuat pra daftar dan menebus kod baucar mengikut klinik yang tersenarai dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Mereka perlu mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan suntikan penggalak supaya tidak berlaku kesesakan di kawasan klinik,” kata Tengku Iesta Tengku Alaudin ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau menambah klinik Selcare hanya menyediakan vaksin Sinovac kepada individu yang lengkap dua dos vaksin jenis sama.

Program Selvax Booster yang dilaksana sejak 8 Disember 2021 memperuntuk sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berikut cara mengaktifkan kod baucar di aplikasi SELangkah:

1. Tekan ikon ‘Selvax’

2. Tekan ikon ‘Tempahan Diri Sendiri’

3. Tekan ikon ‘Dos Penggalak’

4. Tekan ‘Tempah’

5. Masukkan butiran peribadi dan tekan ‘Pengesahan’

6. Masukkan nombor ‘One-Time Password’ (OTP) yang diterima dan tekan ‘Sahkan OTP’

7. Pilih lokasi dan tarikh

8. Masukkan kod baucar dan tekan ‘Guna Baucar’

9. Tekan ‘Tebus Baucar’

10. Tekan ‘Cetak’ dan bawa resit ke janji temu

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Inisiatif Selvax Booster dapat sambutan, hampir 90,000 individu ambil vaksin

SHAH ALAM, 24 FEB: Seramai 87,872 individu menerima suntikan dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster sejak dilancarkan Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Selgate Healthcare Sdn Bhd Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata setiap hari ramai individu hadir ke klinik Selcare berhampiran sekali gus membuktikan program tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita juga telah menganjurkan beberapa program Selvax Booster di beberapa lokasi tertentu di Selangor atas permintaan wakil rakyat setempat,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau turut menasihati mana-mana individu yang belum menerima dos penggalak agar segera berbuat demikian berikutan peningkatan kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, talian khas 1800-226-600 diaktifkan 24 jam bagi membantu orang ramai mendapatkan penjelasan berkaitan vaksin.

Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Selain klinik Selcare, suntikan dos penggalak turut diberikan di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri bermula 17 Disember tahun lepas hingga 14 Januari lalu.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

70,000 individu terima dos penggalak negeri

SHAH ALAM, 30 JAN: Kira-kira 70,000 individu menerima dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster sejak dilancarkan Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Selgate Healthcare Sdn Bhd Tengku Iesta Tengku Alaudin memaklumkan program itu mendapat sambutan baik dan masih diteruskan.

“Orang ramai masih boleh datang terus (daftar di Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)),” katanya di sini semalam.

Program Selvax Booster dilaksana sejak 8 Disember 2021 memperuntuk sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.

Ketua Pegawai Operasi Selgate Healtchare, Tengku Iesta Tengku Alaudin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain di klinik Selcare, suntikan dos penggalak turut diberikan di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri bermula 17 Disember tahun lepas hingga 14 Januari lalu.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapi serta mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Selvax Komuniti menyasarkan warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Selvax bergerak pula dijalankan 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 24 Oktober, Selvax Remaja dilancarkan melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

PPV Tropicana Gardens Mall sedia 5,000 slot tanpa janji temu setiap hari

PETALING JAYA, 8 OGOS: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini menyediakan 5,000 slot suntikan pelalian tanpa janji temu setiap hari menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Ketua pegawai kejururawatan Selgate Healthcare Sdn Bhd berkata tawaran terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas tinggal di sekitar Lembah Klang khususnya Selangor bermula 3 hingga 13 Ogos ini.

Shazana Aimi Kamarudin menjelaskan slot disediakan PPV terbabit paling banyak berbanding di empat lokasi terpilih lain yang menawarkan kaedah sama, dengan hanya 2,000 kuota.

“Sehingga hari ini (semalam), jumlah peserta yang hadir tanpa janji temu sangat menggalakkan walaupun setiap hari kita hanya menerima sekitar 500 peserta.

Ketua Pegawai Kejururawatan Selgate Healthcare Sdn Bhd, Shazana Aimi Kamarudin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Mungkin ramai memilih menggunakan kaedah sama di PPV kendalian kerajaan persekutuan, namun kita percaya usaha ini mampu membantu mencapai imuniti kelompok terutama di Selangor,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menggalakkan individu yang belum menerima vaksin supaya memanfaatkan inisiatif Kerajaan Selangor sebaik mungkin sementara peluang masih dibuka.

“Mereka boleh tampil ke PPV terpilih dan pastikan memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta masukkan kod baucar disediakan,” katanya.

Selain Tropicana Gardens Mall, Selangor menyediakan empat PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama Selgate-IMU tambah pekerja mahir bidang kesihatan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate Healthcare) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama International Medical University (IMU) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang kesihatan dan mengurangkan pengangguran.

Pengarah eksekutif Selgate Healthcare berkata usaha ini akan memanfaatkan graduan lepasan institut pengajian awam dan swasta terutama yang masih belum bekerja mendapat latihan daripada universiti itu  serta ke dunia pekerjaan sebagai “Pembantu Perubatan untuk Jururawat dan Penjagaan Warga Emas”.

“Kerjasama sinergi akan diterajui terutamanya dalam bidang pembangunan modal insan, penglibatan komuniti dan kerjasama industri. Ia dapat mengurangkan kadar pengangguran graduan serta membantu meningkatkan ekonomi khususnya dalam industri kesihatan,” kata Noor Hisham Mohd Ghouth dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan menerusi MoU ini juga Selcare Nursing akan mendapat graduan terlatih untuk berkhidmat di dalam bidang berkaitan pada masa akan datang.

Sementara itu, Naib Canselor IMU Prof Abdul Aziz Baba menyifatkan kerjasama ini tepat pada masanya di saat perkembangan pantas teknologi melibatkan bidang kesihatan.

“Industri penjagaan kesihatan berubah dengan pantas dengan perkembangan teknologi. Menerusi kolaborasi ini kami dapat melengkap dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja hari ini dan esok dengan keupayaan yang relevan untuk memenuhi permintaan industri, ”katanya.

Majlis MoU itu turut dihadiri Pro Naib Canselor, Perhubungan dan Rakan Industri IMU, Prof Toh Chooi Gait serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Nurul Mu’az Omar.