Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa bah puji agihan bantuan negeri cepat, mudah

KLANG, 2 FEB: Penduduk Padang Jawa di sini menyifatkan proses permohonan dan agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) susulan banjir tahun lalu cepat dan mudah.

Pengawal keselamatan Azman Abd Samad, 55, menghantar borang seminggu selepas kejadian sudah menerima inisiatif itu 5 Januari lalu bagi membeli semula keperluan rumah.

Azman Abd Samad

“Alhamdulillah dipermudahkan urusan dan boleh membeli keperluan rumah kerana banyak barang rosak. Harap pihak berkaitan dapat luluskan segera permohonan penduduk lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Fadzillah Hisham Ismail memaklumkan lebih 1,500 permohonan BSB dihantar ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang setakat kelmarin.

“Setakat ini, kira-kira 300 mangsa menerima bantuan Kerajaan Negeri awal Januari lalu bagi fasa satu. Antara kes dikesan ketika serahan bantuan ialah pertindihan permohonan,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.