Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Gelombang Omicron tidak lama jika dos penggalak 80 peratus

SHAH ALAM, 7 FEB: Gelombang Omicron diyakini tamat lebih pantas jika pemberian dos penggalak ditingkatkan sehingga 80 peratus populasi negara, kata pakar epidemiologi Universiti Malaya.

Langkah itu juga dapat mengawal jumlah kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan kematian meskipun kes harian terus meningkat, jelas Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

“Tumpuan ketika ini sepatutnya pada kadar kes teruk (kategori tiga hingga lima), penggunaan katil hospital, kes ICU dan kematian, bukannya bilangan kes baharu semata-semata,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

“Jika tahap imuniti penduduk dikembalikan ke tahap optimum menjelang hujung Februari, kadar kenaikan empat indikator ini tidak akan menyamai kenaikan kadar kes baharu dan gelombang kali ini tidak lama.”

Dr Awang turut menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti pemberian dos penggalak kepada 360,000 dos sehari bagi memastikan imuniti penduduk kembali ke tahap optimum.

Jelasnya, vaksinasi kanak-kanak juga perlu dilengkapkan segera selain menganalisa data keberkesanan dos penggalak dalam mencegah kes kategori tiga hingga lima.

“Kerajaan perlu beri penerangan jelas keberkesanan vaksin dan dos penggalak kerana penjelasan yang diberi setakat ini kurang meyakinkan orang ramai,” katanya lagi.

Seramai 12,361,663 individu dewasa atau 52.8 peratus daripada populasi kumpulan itu telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjangka kes harian Covid-19 dalam negara mencecah 15,000 kes tidak lama lagi susulan gelombang Omicron.