Categories
SELANGOR

Polis tahan enam individu disyaki terbabit sindiket edar dadah

SHAH ALAM, 18 FEB: Polis Selangor menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri di sekitar Kuala Langat dan Klang pada Isnin lepas, dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor ACP Ahmad Jefferi Abdullah berkata bagi kes pertama, pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia menerusi tiga serbuan yang bermula 2 petang di sebuah tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat.

“Menerusi tangkapan pertama, pihak polis menahan seorang lelaki dan suspek telah memandu arah polis ke sebuah pangsapuri di kawasan yang sama lalu menahan seorang lagi lelaki dan seorang warga Indonesia di rumah tersebut.

“Siasat lanjut polis menjumpai lapan peket plastik lutsinar disyaki heroin dengan anggaran berat keseluruhan 3.62 (kilogram) kg dan dua peket plastik lutsinar pil disyaki ekstasi seberat 5 kg. Turut dijumpai bahan dan peralatan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Ahmad Jefferi berkata pihaknya menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan di sekitar Banting pada 6.30 petang selepas penahanan tiga lelaki tersebut.

Bagi kes kedua, beliau berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Klang Selatan telah menahan sepasang suami isteri warga tempatan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya di kawasan Bukit Tinggi, Klang pada pukul 9.10 malam.

Susulan penahanan lelaki berumur 29 tahun dan wanita 33 tahun itu, pihaknya menjumpai empat peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu dianggarkan 51.5 gram dan dua foil aluminium mengandungi 10 biji pil disyaki Erimin 5.

“Suspek lelaki yang ditahan itu kemudian membawa polis ke sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di pangsapuri di Bandar Bestari, Klang dan polis menjumpai 12 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran 5.18 kg; satu plastik bahan berisi disyaki syabu dengan anggaran 1.08 kg dan 250 foil aluminium berisi 7,500 pil disyaki Erimin 5 dianggarkan 2.09 kg.

“Lelaki yang juga kontraktor sebuah syarikat pembekalan tenaga elektrik itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah serta ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Ahmad Jefferi berkata nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes tersebut berjumlah RM521,263.02 selain dua buah kereta dan juga barang kemas dianggarkan bernilai RM80,350 turut disita.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA