Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program harga ayam, telur murah terus mendapat sambutan

SABAK BERNAM, 28 FEB: Program Intervensi Harga Ayam dan Telur terus mendapat sambutan orang ramai apabila lebih 20,000 ekor ayam terjual sejak dilancar 7 Februari lalu.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain ayam, lebih 15,000 biji telur ayam terjual menerusi program dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kedua-dua barangan ini terjual di Wisma PKPS, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Lori Ehsan yang digerakkan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan segar.

“Walaupun Program Jualan Prihatin Rakyat dilaksanakan, program ini tetap berjalan seperti biasa,”katanya selepas merasmikan program itu di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini semalam.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah PKPS.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.