Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program harga ayam, telur murah terus mendapat sambutan

SABAK BERNAM, 28 FEB: Program Intervensi Harga Ayam dan Telur terus mendapat sambutan orang ramai apabila lebih 20,000 ekor ayam terjual sejak dilancar 7 Februari lalu.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain ayam, lebih 15,000 biji telur ayam terjual menerusi program dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kedua-dua barangan ini terjual di Wisma PKPS, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Lori Ehsan yang digerakkan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan segar.

“Walaupun Program Jualan Prihatin Rakyat dilaksanakan, program ini tetap berjalan seperti biasa,”katanya selepas merasmikan program itu di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini semalam.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram menerusi program di bawah PKPS.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta bakal diperluas ke seluruh negeri jika mendapat sambutan orang ramai.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor keluar 4 notis kepada peniaga naik harga ayam

SHAH ALAM, 22 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan empat notis kepada pemborong dan peniaga pasar yang menaikkan harga ayam.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata notis tersebut dikeluarkan setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 210 premis sejak 8 hingga 19 November lalu.

“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, lapan aduan diterima iaitu enam daripadanya berkenaan kenaikan harga dan selebihnya pula ayam mahal.

“Harga ayam yang ditetapkan di pasaran ialah RM9.50 sekilogram tetapi peniaga menjualnya pada harga lebih daripadanya sehingga mencecah RM10. Oleh demikian, kita telah meminta peniaga dan pemborong itu melengkapkan butiran berhubung kenaikan harga,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 di dua premis di daerah ini iaitu Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 hari ini.

Majlis tersebut dihadiri EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Berhubung bekalan minyak peket, Muhamad Zikril Azan berkata pengguna tidak perlu risau tentang bekalannya kerana ia mencukupi dan stabil.

“Kita telah berunding dengan 70 pembungkus semula minyak masak supaya segera menghantar bekalan ke premis-premis terpencil yang tidak menerimanya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga luar bandar jual ayam serendah RM7 sekilogram

KLANG, 30 SEPT: Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati beberapa peniaga di negeri ini mula menurunkan harga ayam serendah RM7 sekilogram.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram dijual di beberapa kawasan di luar bandar.

“Rungutan mengenainya berkurangan selepas ramai bersetuju harga RM9.50, malah di luar bandar ada yang jual RM7 ke RM8 lebih dan harga ini sebenarnya bergantung kepada pemborong dan penjual.

“Tetapi di pihak kita sentiasa memantau tidak melebihi RM9.50 seperti disyorkan,” katanya selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin hari ini.

Beliau juga menyeru peniaga, pemborong dan penternak ayam sama-sama meringankan beban rakyat dengan mengawal harga dan tidak menaikkannya.

Pada 21 September, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan disaran menyemak semula dasar pertanian dan keselamatan makanan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebergantungan terhadap import bekalan mentah untuk membuat makanan ayam menjadi punca kenaikan harga di pasaran ketika ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

247 pembekal, peruncit ayam Selangor sedia patuh, turunkan harga jualan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebanyak 72.86 peratus atau 247 daripada 339 premis pembekal dan peruncit di Selangor sedia menurunkan harga jualan ayam kepada RM9.50 seperti disaran pihak berkuasa.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata 86 premis pula bersetuju membuat perubahan dengan menurunkan harga serta-merta manakala enam premis bersetuju secara bersyarat untuk berbuat demikian.

Persetujuan itu dicapai hasil libat urus antara peniaga dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam pemeriksaan pada 13 hingga 19 September.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini ada pembekal dan peruncit menjual ayam pada harga antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram.

“Pemeriksaan mendapati penurunan dan kestabilan harga runcit iaitu harga purata jualan ayam mula dijual antara RM8.50 hingga RM9.50. Misalnya ada premis runcit sekitar Sepang harga jual ialah RM8.20 hingga RM9 manakala Kuala Kubu Bharu pula harga jualan paling rendah RM8.90, begitu juga di Petaling Jaya.

“Situasi ini menunjukkan harga runcit ayam dijual di pasar dan premis runcit boleh didapati pada harga maksimum RM9.50 mengikut lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan harga bahan basah itu di Pasar Seksyen 6 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata pendekatan diambil KPDNHEP menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam mendorong kepada perkembangan positif tersebut.

Menurutnya, dua notis pengesahan maklumat barangan mengikut Seksyen 21, AntiPencatutan (AKHAP) 2011 juga dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung harga jualan tersebut.

“Justeru, pengguna tidak perlu risau kerana kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara bijak dengan menyemak serta membandingkan harga berdasarkan lokasi semasa dalam radius 10 kilometer menggunakan aplikasi Price Catcher.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP wujud badan khas tangani harga ayam

CAMERON HIGHLANDS, 18 SEPT: Kewujudan satu badan khas bagi memantau dan menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran tempatan perlu direalisasikan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Ronald Kiandee.

Justeru, katanya, perbincangan menyeluruh akan dibuat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.

“Bagi kita, badan khas itu lebih kepada bidang kuasa KPDNHEP selaku kementerian yang bertindak terhadap kenaikan harga (barangan).

“Di pihak Mafi, kita menyambut baik sebarang perbincangan (penyelesaian) kerana pendirian kita, kos pengeluaran (makanan ayam) ditanggung pihak industri dan kos (harga ayam) sepatutnya dikenakan kepada rakyat perlu seimbang,” katanya selepas melawat Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC), di Dewan Serbaguna Kampung Raja hari ini.

Semalam Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sesi perbincangan bersama Mafi secara berterusan perlu diadakan bagi menangani permasalahan harga makanan ayam yang tinggi disuarakan kebanyakan penternak.

Beliau menegaskan perbincangan itu menyasarkan isu kos tinggi meliputi dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat pengguna.

Dalam pada itu, Ronald berkata pihaknya berpendapat bantuan subsidi bagi menampung kos pengimportan dan komponen makanan ternakan juga antara mekanisme yang mampu memberi kesan positif dalam menstabilkan semula kenaikan harga ayam di pasaran.

Terdahulu, mengenai program AiCAV beliau berkata lebih 17,000 pekerja sektor penanaman sayur di kawasan tanah tinggi itu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui program tersebut yang bermula 27 Ogos lalu.

Katanya, sebanyak 400 syarikat menyertai program itu yang dilihat sebagai langkah proaktif bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

“Sehingga kini sebanyak 10,000 pekerja telah menerima dos pertama, baki 7,000 pekerja lagi akan divaksin bermula semalam hingga 27 Sept ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Peniaga, penternak ayam segar digesa elak caj harga tidak munasabah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Penternak, peniaga dan pemborong ayam segar disaran tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bahan mentah tersebut ketika pandemik Covid-19, kata EXCO hal ehwal pengguna dan industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan kerap melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kenaikan harga luar jangka berlaku.

“Saya telah berjumpa dengan pengarah KPDNHEP Selangor dan dimaklumkan pihak berkaitan menaikkan harga ayam kerana mahu menampung kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Namun, saya harap penternak, peniaga dan pemborong tidak ambil kesempatan sehingga mengenakan caj tidak munasabah dan kurang sesuai ketika ramai orang sedang dalam kesempitan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jelajah Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya semalam.

Baru-baru ini KPDNHEP mengesan kenaikan harga ayam segar di peringkat nasional daripada RM8.39 sekilogram (kg) kepada RM8.47 berdasarkan laporan Price Alert Harian pada 6 September lalu.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di 605 premis yang menjual ayam bersih di seluruh negara mendapati 47 premis atau lapan peratus daripadanya menaikkan harga manakala 0.5 peratus menurunkan harga.

Pada 13 September, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian itu akan melaksanakan kawalan harga ayam jika ia terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapat kartel memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Categories
AGENSI SELANGOR

56 peniaga sekitar Shah Alam setuju turun harga ayam serta-merta

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak 56 premis di sekitar Shah Alam bersetuju menurunkan harga ayam serta-merta susulan pemeriksaan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, berikutan berlaku kenaikan harga ayam yang mendadak di pasaran.

Pengarahnya Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata susulan pemeriksaan pihaknya sejak Isnin (13 September) hingga semalam, enam lagi premis setuju secara bersyarat menurunkan harga ayam, iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga ayam di sekitar Shah Alam memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula dan menurunkan harga jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri ayam di sekitar Selangor untuk berbincang dan mendapatkan kerjasama berhubung harga barang kawalan itu di peringkat pengeluaran anak ayam.

“Ia bagi memastikan (harga ayam) tidak pada paras harga yang tinggi bagi mengelak berlaku tekanan harga di peringkat pemborong dan peruncit ayam ketika ini, serta diharapkan dapat memberikan perubahan situasi yang stabil di pasaran,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Catut harga ayam: KPDNHEP keluar 40 notis kepada pemborong, penternak

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Susulan kenaikan mendadak harga ayam yang dikesan baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Operasi Antipencatutan 8.0 (Ops Catut 8.0) yang menyaksikan 24 notis dikeluarkan kepada pemborong disyaki mencatut.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sepanjang operasi selama dua hari hingga 16 April itu, pihaknya turut mengeluarkan 16 notis kepada penternak atas kesalahan sama.

“Analisis awal mendapati harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil, merekodkan kenaikan dan ini menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dari peringkat ladang kepada pemborong, peruncit dan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP juga melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara bermula Selasa lepas, membabitkan bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah serta pasar raya, pasar mini dan kedai runcit dengan tumpuan terhadap peniaga ayam, daging dan ikan.

“Hingga 16 April, sebanyak 5,768 premis diperiksa dan 27 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurut Nanta, sejak 13 April lepas hingga kini, pihaknya menerima 15 aduan masing-masing berkaitan harga ayam dan ikan, dua mengenai sayur dan satu aduan tentang harga daging.

Mengenai dakwaan aplikasi PriceCatcher KPDNHEP memaparkan harga ikan, ayam dan daging lembu terlalu tinggi, Nanta berkata paparan yang tular itu hanya membabitkan harga tiga barang, iaitu ikan kembung, ayam dan daging di kawasan elit Bukit Bintang.

“Semakan mendapati ada premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barang berkenaan pada harga lebih murah daripada yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.

“Paparan harga aplikasi PriceCatcher disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi yang bertujuan memudahkan pengguna membandingkan harga ditawarkan semua premis berdekatan dengan lokasi pengguna,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga ayam mula tunjuk trend turun, perhebat pantau

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Pemantauan harga ayam semasa oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati, harga runcit ayam standard mula menunjukkan trend penurunan di pasar besar dan pasar raya, bermula 1 hingga 17 Julai.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, trend berkenaan adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup, yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg, daripada minggu pertama iaitu RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.

“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya lagi.

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran, supaya pengguna dapat memperoleh ayam dengan harga yang berpatutan.

Tambah beliau, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan kenaikan harga ayam, ekoran aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lepas.

Jelas Iskandar Halim, pemantauan dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011, untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan harga ayam, serta mengesan sekiranya wujud aktiviti anti-pencatutan.

Katanya, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut dalam pemeriksaan yang dilaksanakan dalam tempoh 17 Jun hingga 30 Jun.

“Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP,” tambahnya lagi

Jelas Iskandar Halim, lapan kes ini melibatkan empat peruncit di pasar awam Melaka dan empat pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur. Semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) AKHAP.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Peniaga tak patut naik harga ayam waktu PKP

SHAH ALAM, 17 MEI: Peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO Hal Ehwal Pengguna.

Hee Loy Sian berkata beliau kecewa kerana terdapat dakwaan pengguna di negeri ini mengatakan harga ayam naik dari RM4.60 sekilogram minggu lalu kepada RM7.10 sekilogram pada minggu ini.

“Kawalan harga barangan terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun kita tetap akan siasat perkara ini supaya tidak mendatangkan beban kepada masyarakat,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam media melaporkan pelanggan terpaksa membeli ayam dengan harga mencecah sehingga RM8.10 sekilogram di beberapa premis termasuk di pasar raya dan kedai runcit.

Pengguna turut merungut apabila harga ayam sebelum PKP hanya RM5 sekilogram, namun kecewa ia semakin naik saban minggu.