Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas pihak sengaja naikkan harga ayam, telur – Mafi

PASIR PUTEH, 6 FEB: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan berkenaan sehingga membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

“Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di sini, semalam.

Beliau berkata demikian berikutan menerima beberapa aduan daripada rakyat bahawa terdapat sesetengah pembekal atau pemborong yang cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

“Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

Pada Jumaat, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

Beliau berkata KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi.

– BERNAMA