Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kuis: Dana RM95,030 Kerajaan Negeri bantu pelajar B40 kuasai dunia digital

BANGI, 4 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menerima suntikan dana lebih RM95,000 bagi menjayakan program kemahiran sains, teknologi dan inovasi (KSTI) Selangor pada Disember lalu.

Timbalan rektor hal ehwal pelajar dan alumni Kuis berkata peruntukan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor berjaya memanfaatkan 389 pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri ini.

Menurut Dr Abdul Razif Zaini, pelajar didedahkan dengan modul latihan bertemakan pencarian harta harun digital menggabungkan kaedah pembelajaran berbalik (flipped-classroom) dan berasaskan masalah secara maya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas pemberian geran itu. Semoga usaha penganjuran kursus berkaitan sains, teknologi dan inovasi memberi manfaat kepada pelajar.

“Pendedahan awal ini penting bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar B40 berikutan pelaksanaan norma baharu akibat Covid-19, yang memaksa mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya ketika membacakan teks ucapan Rektor Kuis Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Hadir sama Sekretariat Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor Shazrina Roslan dan Pengarah DKSS Strategi Solutions Dr Khazaimatol Shima Subari.

Selain itu, Abdul Razif berkata program itu bertujuan merangsang kreativiti pelajar ketika menyelesaikan masalah dengan penggunaan aplikasi terkini.

Katanya, ia sejajar dengan hasrat merealisasikan agenda Kerajaan Selangor membentuk negeri maju dan berdaya saing melalui pembangunan modal insan terlatih serta mahir.

“Saya percaya perkongsian ilmu daripada pakar akademik dan industri mampu mendorong pelajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran digital,” katanya lagi.

Pada masa sama, peserta juga didedahkan mengenai perkongsian dalam talian, ekonomi sampingan, pempengaruh YouTube, pemikiran rekaan dan perniagaan serta dunia internet untuk segalanya (IoT).