SHAH ALAM, 3 MAC: Program jualan murah barangan keperluan harian diteruskan pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan ini di beberapa lokasi strategik bagi meringankan kos sara hidup rakyat Selangor.
Pengguna berpeluang mendapatkan barangan seperti ayam, telur ayam, sayur, bawang, cili kering, gula, minyak masak, tepung gandum, beras, makanan dalam tin dan barangan proses dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran.
Menurut pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor program melibatkan pemain industri peruncitan negeri ini bertujuan menangani situasi pergerakan harga barang yang mencabar terhadap pengguna.
“Program ini diharap menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan.
Dianjur sejak Disember tahun lalu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) digerakkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan.
Sejumlah RM4.59 juta hasil jualan direkodkan sepanjang 94 kali penganjuran sehingga 27 Februari lalu, selain memanfaatkan 234,109 pengguna negeri ini.
Senarai lokasi program tersebut boleh dirujuk di Facebook KPDNHEP Selangor pada setiap Jumaat.