Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan murah ayam, ikan dan telur di Sabak Bernam pada Sabtu

SHAH ALAM, 3 MAC : Program jualan murah barangan keperluan harian seperti ayam, ikan dan telur diadakan pada Sabtu ini di Sabak Bernam, kata Dato’ Menteri Besar.

“Program Jualan Prihatin Rakyat akan bermula di Sabak Bernam pada Sabtu ini yang menjual barangan keperluan harian berkualiti seperti ayam, ikan dan telur pada harga berpatutan.

“64 kawasan bakal menjadi lokasi jualan sehingga Hari Raya Aidilfitri,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ketika merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam berkata empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan dijual murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) adalah kesinambungan Program Intervensi Harga Ayam dan Telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lepas.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program ini.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ringan beban rakyat, jualan murah barang keperluan setiap Sabtu Ahad

SHAH ALAM, 3 MAC: Program jualan murah barangan keperluan harian diteruskan pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan ini di beberapa lokasi strategik bagi meringankan kos sara hidup rakyat Selangor.

Pengguna berpeluang mendapatkan barangan seperti ayam, telur ayam, sayur, bawang, cili kering, gula, minyak masak, tepung gandum, beras, makanan dalam tin dan barangan proses dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Menurut pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor program melibatkan pemain industri peruncitan negeri ini bertujuan menangani situasi pergerakan harga barang yang mencabar terhadap pengguna.

“Program ini diharap menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan.

Dianjur sejak Disember tahun lalu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) digerakkan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan.

Sejumlah RM4.59 juta hasil jualan direkodkan sepanjang 94 kali penganjuran sehingga 27 Februari lalu, selain memanfaatkan 234,109 pengguna negeri ini.

Senarai lokasi program tersebut boleh dirujuk di Facebook KPDNHEP Selangor pada setiap Jumaat.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pembeli harap jualan ayam RM8 kerap dilaksana, ringan beban keluarga

SHAH ALAM, 8 FEB: Orang ramai berharap Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif jualan ayam RM8 sekilogram dari semasa ke semasa untuk meringankan beban rakyat.

Pengacara dan pelawak Helmi Harun, 62, atau lebih dikenali ‘Helmi Gimmick’ antara pengunjung yang membeli ayam murah menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.

“Saya datang dari Nilai, Negeri Sembilan ke Shah Alam atas urusan kerja tetapi ternampak iklan jualan ayam murah di  Wisma PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor), jadi saya ambil kesempatan singgah.

Helmi Harun. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Di Negeri Sembilan juga mengalami masalah kekurangan ayam. Inisiatif Kerajaan Selangor ini bagus dan perlu dicontohi semua negeri kerana dapat meringankan beban rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Suri rumah Ratna Sari Manirah Jasni, 40, berkata beliau mengambil kesempatan membeli ayam di Wisma PKPS kerana amat murah selain dekat dengan kediamannya di Seksyen 11.

Ratna Sari Manirah Jasni. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain ayam, saya juga membeli keperluan lain kerana kebetulan bekalan di rumah sudah habis. Saya pernah pergi ke beberapa kedai tetapi pemilik memaklumkan ayam habis.

“Inisiatif ini bagus kerana menjimatkan perbelanjaan harian, anak-anak saya gemar makan ayam berbanding ikan. Saya harap jualan sebegini dilaksanakan lebih kerap,” katanya.

Penjawat awam Nor Syafiqah Shafee, 30, berkata beliau pernah membeli seekor ayam dengan harga RM14 sekilogram untuk saiz paling kecil.

“Masa tu saya agak terkejut sebab harga mahal tetapi beli juga kerana susah dapat bekalan. Namun, di sini, saya mendapat dua ekor ayam saiz besar pada harga RM 27. Program seperti ini sangat membantu rakyat,” katanya.

Nor Syafiqah Shafee. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula semalam bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya mendapat sambutan.

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Jangan terpedaya gimik jualan murah produk di internet

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan gimik jualan murah yang terdapat dalam internet kerana kebanyakan produk yang dijual adalah daripada laman sesawang atau aplikasi yang tidak berdaftar.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), produk yang dijual juga tidak tertakluk kepada akta dalam negara selain sesetengah daripadanya mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

“Pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak mereka daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, SKMM menasihati sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak menilai jualan dan promosi dalam platform e-dagang sedemikian.

Oang ramai juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform digunakan ketika melakukan transaksi, selain perlu meneliti syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang.

Menurut SKMM, ia penting bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan murah tanpa had bermula tahun depan – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 3 OGOS: Golongan peniga dibenarkan menganjurkan aktiviti jualan murah tanpa had bilangan kuota mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing, berkuat kuasa 2 Januari depan, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata ia berikutan pewartaan pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2019.

Sebelum ini, katanya, peraturan tersebut menetapkan had kuota penganjuran jualan murah adalah sebanyak empat kali setahun iaitu tiga daripadanya adalah berdasarkan tempoh dan tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan manakala satu lagi tarikh jualan murah dipilih oleh peniaga.

“Pindaan peraturan ini bertujuan menjadikan penguatkuasaan berkaitan jualan murah menjadi lebih relevan mengikut perkembangan perdagangan semasa,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata penambahbaikan juga telah dibuat ke atas sistem notis jualan murah agar peniaga tidak lagi perlu menunggu kelulusan daripada KPDNHEP dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan nombor notis jualan murah.

“Nombor notis jualan murah tersebut akan diberi secara automatik sebaik sahaja permohonan notis ini telah dilengkapkan oleh peniaga di dalam sistem permohonan notis jualan murah secara dalam talian,” katanya.

Iskandar berkata KPDNHEP juga bersetuju memendekkan tempoh untuk mengemukakan permohonan jualan murah daripada 14 hari kepada satu hari sahaja sebelum peniaga mengadakan jualan murah bagi menyokong kreativiti dan strategi pasaran peniaga.

“Melalui pindaan ini, peniaga tiada lagi alasan untuk tidak memohon notis jualan murah kerana mereka boleh memohon dalam tempoh satu hari sebelum tarikh untuk mengadakan jualan murah,” katanya.

Iskandar dalam pada itu berkata KPDNHEP bukan sahaja mengambil kira pandangan pihak industri dalam membuat sesuatu dasar tetapi juga mempertimbang keperluan untuk melindungi hak pengguna.

Menurutnya, peruntukan sedia ada dalam peraturan dikekalkan bagi melindungi pengguna, di samping mewujudkan kesalahan sekiranya peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam penawaran dan iklan jualan murah.

“Ia bagi menjamin aktiviti perniagaan jualan murah yang diadakan adalah beretika kerana terdapatnya aduan yang diterima bahawa iklan jualan murah yang dipaparkan tidak mencerminkan harga sebenar barangan yang diberi potongan harga jualan murah,” katanya.

Iskandar berkata KPDNHEP juga telah membangunkan aplikasi telefon pintar iaitu MySales Tracker bagi memberi kemudahan kepada pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah yang berlangsung di sekitar kawasan mereka.

Melalui aplikasi itu, pengguna boleh membuat carian pantas berkaitan jualan murah berdasarkan jenama atau premis, dan boleh juga membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah secara palsu atau mengelirukan.

Beliau berkata penambahbaikan peraturan jualan murah itu yang dilihat lebih mesra peniaga tanpa mengabaikan aspek perlindungan pengguna akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga jualan murah yang akan secara langsung membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan murah boleh diadakan bila-bila masa bermula tahun depan

BUKIT MERTAJAM, 28 DIS: Bermula 2 Januari 2020, para peniaga boleh mengadakan jualan murah pada bila-bila masa dan ia tidak lagi terhad kepada empat kali setahun, seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 November lepas itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.

“Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.

“Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah relevan sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Tesco Seberang Jaya, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kuota penganjuran jualan murah itu juga, dilihat menjadi satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini dan pindaan itu dibuat selepas kajian yang teliti, serta mengambil kira pandangan pihak industri dan pengguna.

Katanya sebanyak 10 peruntukan terlibat dalam pindaan itu dan antara yang utama ialah mengenai had bilangannya yang sebelum ini ditetapkan kepada empat kali setahun, dengan tiga daripadanya ditetapkan tempoh dan tarikh oleh pihak kerajaan melalui warta.

“Peraturan itu telah melalui pindaan lima kali, sejak ia diperkenalkan pada tahun 1997 untuk menambahbaik peruntukan peraturan, bagi mengimbangi keperluan industri dalam sektor peruncitan serta aspek perlindungan hak-hak pengguna.

“Pindaan ini juga sebagai rangsangan kepada industri peruncitan untuk berkembang, seiring dengan kemajuan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata aspek perlindungan hak-hak pengguna tidak diabaikan dengan mengekalkan kawalan sedia ada bagi melindungi pengguna, selain KPDNHEP akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap jualan murah, bagi mengelakkan peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan mereka.

“Kami berharap dengan penambahbaikan peraturan itu, aktiviti jualan murah akan menjadi semakin rancak dan mendorong ke arah suasana perniagaan yang mampan.

“Kami percaya jumlah penganjuran jualan murah yang tidak dihadkan juga akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga, yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

-BERNAMA