Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel, Yawas jalin kerjasama perkasa anak istimewa di Selangor

KUALA SELANGOR, 1 MAC: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Universiti Selangor (Unisel) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerjasama itu juga bertujuan menambah baik program bantuan Anak Istimewa Selangor (ANIS) supaya mereka tidak tercicir dan mampu berdikari.

“Dengan adanya pembabitan universiti kita yakin pelbagai kajian, kerja komuniti dan latihan membabitkan anak istimewa ini dapat dilaksanakan sekali gus membantu perkembangan pembangunan ANIS.

“Saya harap kerjasama dengan golongan akademik dan penuntut universiti akan menjadi pemangkin untuk terus memberi perkhidmatan terbaik untuk anak istimewa ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU antara Unisel dan Yawas di Unisel Bestari Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman dan Pengurus Besar Yawas Gan Pei Nei.

Menerusi MoU itu Unisel akan menawarkan kepakaran dan kemudahan kepada ANIS di bawah seliaan Yawas antaranya kerjasama cakna komuniti OKU termasuk membantu Yawas dan ANIS melaksanakan jelajah negeri sekiranya diperlukan dan bekerjasama membangun Sijil Ikhtisas Cikgu ANIS.

Selain itu, menyediakan khidmat konsultansi dan penyelidikan impak tinggi ANIS-Unisel, kerjasama khidmat komuniti oleh pakar dan sukarelawan serta kerjasama bersama program akademik Unisel menerusi usahasama Fakulti Pendidikan Sains Sosial.

Turut diadakan program kerjasama promosi ANIS dan Unisel melalui persidangan, webinar, seminar dan promosi khusus, selain kerjasama penyelidikan dan latihan.