Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB serah RM240,000 kepada Gurdwara Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 APRIL: Meskipun hanya kaum minoriti, rumah ibadat masyarakat Sikh di Selangor turut mendapat bantuan Kerajaan Negeri apabila 24 Gurdwara di seluruh Selangor menerima sumbangan bernilai RM240,000.

Sumbangan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu disampaikan pada Majlis Rumah Terbuka Perayaan Vasakhi Peringkat Negeri Selangor 2017 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Sebelum itu, ketika menyampaikan ucapan pada majlis sama, Mohamed Azmin memberitahu Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk program dan pembangunan komuniti Sikh.

“Walaupun dianggap minoriti tetapi Kerajaan Negeri tetap menjaga kepentingan semua golongan dan anda juga telah memainkan peranan dalam membangunkan kemajuan di Selangor,” kata Mohamed Azmin.

GUDWARAKetika menyentuh isu tanah rumah-rumah ibadat di Selangor, Mohamed Azmin memberitahu Kerajaan Negeri sedang menjalankan proses mewartakan rumah-rumah ibadat di seluruh Selangor termasuk melibatkan Gurdwara bagi kaum Sikh.

Sementara itu, Sambutan Majlis Rumah Terbuka Perayaan Vasakhi Peringkat Negeri Selangor 2017 malam tadi berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 3,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk makanan tradisi masyarakat Sikh, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan kaum Sikh.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah tarian masyarakat Sikh yang penuh bertenaga, Bhangra.

Malahan Mohamed Azmin dalam ucapannya turut menyatakan minatnya terhadap persembahan yang lazimnya diiringi pelbagai jenis gendang itu.

=EZY=