Categories
PBT SELANGOR

MBPJ, MISA meterai MOU ke arah komuniti hijau

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Memorandum Persefahaman (MOU) antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Malaysian Institute of Sustainable Agriculture (MISA) dimeterai bagi memperluas projek Program Agrobox@PJ, semalam.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataan berkata, projek agrobox@PJ merupakan program perintis yang julung kali diadakan di Malaysia melibatkan kombinasi kerjasama komuniti, swasta dengan penggunaan teknologi hijau yang menjana ekonomi.

“Setelah lebih setahun beroperasi, komuniti yang menjalankan program itu telah mendapat pengiktirafan dan memenangi beberapa anugerah di peringkat Majlis antaranya Anugerah Komuniti Mampan MBPJ 2017, Anugerah Komuniti Terbaik UMCares 2017 dan terbaharu di peringkat kebangsaan, Anugerah Green Initiatives 2017, daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia.

“Kita berharap dengan termeterainya MOU itu dapat mempromosi, membangun dan melatih komuniti di Petaling Jaya untuk melaksanakan pertanian mampan di bandar (urban sustainable agriculture) bagi menjayakan projek Agrobox@PJ dengan menggunakan kontena sebagai kaedah pertanian akuaponik,” katanya.

Katanya, MISA berperanan sebagai rakan kerjasama yang memberi sumbangan dari segi peralatan dan latihan kepakaran teknologi akuaponik kepada komuniti di Petaling Jaya.

“MBPJ melalui Jabatan Landskap dan kerjasama MISA telah mewujudkan ‘Outdoor Showroom‘ Kebun Kita dan Agrobox di perkarangan pejabat Jabatan Landskap, di SS7, Kelana Jaya sebagai rujukan kepada komuniti yang berminat untuk menyertai pertanian berasaskan aquaponik tersebut.

“Pada masa sama, jalinan ini antara komitmen MBPJ dalam menerajui program melibatkan teknologi hijau, sesuai dengan aspirasi Petaling Jaya sebagai bandaraya Hijau Berkarbon Rendah dan selaras dengan matlamat ke arah PJ Sustainable 2030,” katanya.

Majlis tandatangan MoU diwakili Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain manakala pihak MISA diwakili Pengarah Urusannya, Hud Sulaiman disaksikan Pengarah Jabatan Landskap MBPJ, Zuraidah Sainan dan Pemegang Amanah MISA, Salehudin Ayub Abd Latiff.

=EZY=