Categories
PBT SELANGOR

PBT perlu letak tanda peringatan meski tiada larangan minum arak

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang papan tanda peringatan minuman keras di tempat awam walaupun tiada undang-undang melarang individu meminum arak di kawasan berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, papan tanda peringatan itu bagi menjamin keselesaan dan ketenteraman orang ramai.

Menerusi langkah itu juga, katanya, PBT akan mengambil tindakan tegas kepada peminum mabuk yang menimbulkan kacau ganggu.

“PBT akan menjalankan rondaan pemantauan di lokasi awam bagi mengatasi masalah kacau ganggu yang berpunca daripada orang mabuk.

“Jika berlaku kacau ganggu akibat mabuk, mereka akan melaporkan terus kepada polis kerana polis mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap peminum arak itu jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sze Han (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada sesi itu, Wei Kiat bertanyakan tentang tindakan Kerajaan Selangor dalam mengatasi kekecohan yang dilakukan peminum arak di kawasan awam.

Bagaimanapun, Sze Han berkata, pihaknya tidak pernah mewujudkan peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam seperti yang diwujudkan bagi larangan merokok.

“Ini selaras dengan ketetapan Undang-Undang Kecil Taman 2005 dan agak sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat persekutuan atau negeri,” katanya.

Sebelum ini, PBT mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan iaitu sehingga jam 9 malam dan memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis serta tempat terbuka.