SHAH ALAM, 28 OKT: Acara sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat dalam kejohanan utama antara fokus Selangor tahun depan.
EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata tumpuan meliputi program latihan, kejurulatihan dan kemudahan sukan buat atlet.
“Justeru, besarlah harapan saya agar Kerajaan Negeri memberi peruntukan lebih baik dalam Belanjawan 2021 untuk kita meneruskan pogram pembangunan sukan.
“Semoga belanjawan kali ini membolehkan atlet mendapat kemudahan sempurna sekali gus meningkatkan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman menambah pelan tindakan jangka panjang sedang dirangka Majlis Sukan Negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang menstruktur pengambilan jurulatih untuk melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.
“Penstrukturan jawatan yang lebih baik juga dapat menjamin karier mereka sebagai jurulatih,” katanya lagi.
Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancar secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, selangortv.my.
Siaran langsung itu juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.