Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pupuk minat seni muzik cempuling bermula usia muda

KUALA LANGAT, 21 FEB: Minat terhadap seni muzik cempuling harus dipupuk seawal usia kanak-kanak demi memelihara warisan itu daripada pupus.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni itu perlu dipelihara dan dihayati terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya nasihatkan ahli keluarga juga menyokong dan beri galakan kepada anak mereka untuk menghayati nilai seni muzik tradisional seperti cempuling.

“Malah, konsep cempuling juga bagus yang mana berunsurkan nasihat dan menyebarkan dakwah,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Rentak Selangor Siri Satu yang menampilkan demonstrasi seni muzik cempuling di Kampung Sungai Lang Tengah di sini semalam.

Beliau berharap semua kaum minat untuk belajar cempuling walaupun muzik tradisi itu berasal dari masyarakat Jawa.

Pada program sama beliau turut memuji persembahan ditonjolkan kumpulan kanak-kanak peringkat Kampung Sungai Lang Tengah yang bakal menjadi pelapis cempuling.